Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersama barisan peguamnya selepas keputusan dilepas tanpa dibebaskan daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 04 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – UMNO bersyukur keputusan Mahkamah Tinggi di sini hari ini membebaskan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atas baki pendakwaan 47 kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan itu dibuat selepas mahkamah mengambilkira keputusan Peguam Negara untuk memberhentikan pendakwaan ke atas semua kes pertuduhan itu.

Katanya, Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 September tahun lalu telah membebaskan dan melepaskan Ahmad Zahid terhadap 40 kes yang terbukti tiada asas atau prima facie untuk didakwa serta disabitkan sebarang kesalahan jenayah.

“Sejak awal lagi UMNO yakin dan percaya Ahmad Zahid adalah mangsa pendakwaan politik yang dilakukan ketika Tun Dr. Mahathir Mohamad dilantik kali kedua sebagai Perdana Menteri ketujuh selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Lebih mendukacitakan, kezaliman terhadap Ahmad Zahid berlaku hanya beberapa minggu selepas Dr. Mahathir selaku Pengerusi Parti Bersatu waktu itu mengancam supaya Presiden UMNO membubarkan parti ini dalam pertemuan yang diakui sendiri oleh bekas Perdana Menteri itu dalam satu temuramah media.

“Ini diperkukuhkan lagi dengan pendedahan berani dan berbaur angkuh bekas Peguam Negara, Tommy Thomas dalam buku memoirnya “My Story: Justice in the Wilderness” yang dengan jelas memperakui terlibat secara langsung dalam mengatur beberapa pendakwaan terpilih terhadap individu politik berpengaruh bersama Dr. Mahathir waktu itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

video lama
Asyraf Wajdi Dusuki

Hari ini Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada semua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata, mahkamah melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid, 70, yang juga Timbalan Perdana Menteri selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar bahawa Jabatan Peguam Negara mahu memberhentikan semua prosiding terhadapnya pada peringkat ini.

Selaras dengan peruntukan Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah, pihak pendakwaan ingin memberhentikan prosiding ke atas semua pertuduhan terhadap tertuduh (Ahmad Zahid) dengan mengemukakan 11 alasan,” kata Collin Lawrence.

Menurut Asyraf, lebih malang lagi, kes pendakwaan politik itu tetap diteruskan selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik Perdana Menteri, walaupun Tan Sri Idrus Harun dan Tan Sri Azam Baki masing-masing dilantik sebagai Peguam Negara dan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu menggantikan Tommy Thomas dan Latheefa Koya.

“Alhamdulillah, walaupun Peguam Negara dan Ketua Pesuruhjaya SPRM dikekalkan oleh Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akhirnya mereka melakukan keputusan yang betul dengan memberhentikan pendakwaan tersebut.

“Bahkan, salah satu daripada 11 alasan Pendakwa Raya di Mahkamah Tinggi memberhentikan pendakwaan hari ini memperakui pendakwaan itu dibuat secara tergesa-gesa.

“Sedangkan siasatan tidak sempurna boleh menjejaskan kredibiliti Jabatan Peguam Negara dan SPRM yang diperlihatkan menjadi alat pembunuhan musuh politik oleh pihak berkuasa,” katanya.

Asyraf menyifatkan tindakan itu seperti mengesahkan satu memo taklimat yang tular beberapa minggu lalu yang disediakan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib ketika Tommy masih memegang jawatan Peguam Negara.

Ujar beliau, memo yang menggemparkan itu telah mencadangkan tiada apa-apa pertuduhan boleh dibuat ke atas Ahmad Zahid kerana tiada sebarang keterangan dan bukti menjurus kepada sebarang perlakuan jenayah.

“Namun hanya dua hari selepas tarikh memo tersebut dibentangkan kepada Peguam Negara waktu itu, pendakwaan tetap dilakukan bagaikan tergesa-gesa seperti ada tangan ghaib berniat jahat yang membuat pengarahan.

“Dengan keputusan hari ini, semakin jelas kerakusan kepimpinan Dr. Mahathir dan Parti Bersatu yang sanggup menganiayai pemimpin UMNO termasuk Ahmad Zahid.

“Mereka memperkakaskan institusi perundangan di negara ini demi gelojak nafsu dan dendam untuk menghancurkan UMNO dan kononnya boleh menggantikan UMNO dalam perjuangan Islam dan Melayu,” katanya.

Beliau berharap, titik hitam dalam sejarah perundangan negara sehingga sistem dan institusi keadilan begitu mudah diperalatkan yang membawa kepada ketidakstabilan politik mesti dititik-noktahkan.

Ujarnya, UMNO berpendirian tegas di bawah Kerajaan Perpaduan bahawa segala pendakwaan politik yang memperalatkan institusi yang menjadi benteng kepada sistem keadilan negara tidak lagi berulang.

“Jabatan Peguam Negara dan SPRM mesti terus bebas dan berani melaksanakan amanah mereka untuk melaksanakan keadilan tanpa rasa takut dan pilih kasih terhadap mana-mana pihak termasuk pimpinan dan ahli UMNO,” kata beliau. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. apa maksud Peguam Negara memberhentikan pendakwaan dan tidak dibebaskan?
    jika maksud itu seperti traffic lights PASTI ada masanya akan berwarna hijau maka boleh BERJALAN kecuali dikawal pegawai traffic. kebiasaan kawalan itu kerana ada kecemasan atau perlu diberi keutamaan.
    apakah BERHENTI itu selamanya muktamad?

Comments are closed.