kontroversi SRC
Mohd Nizar Najib

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa mengambil tindakan berhubung pandangan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Hamid Sultan Abu Backer bahawa terdapat banyak kontroversi dalam kes SRC International melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Naib Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Mohd Nizar Najib berkata, kepincangan dan kebobrokan dalam sistem kehakiman wajib diperbetul dan dirombak semula.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya yang juga anak kepada Najib memberitahu, langkah itu adalah bagi memastikan setiap rakyat termasuk bekas Perdana Menteri mendapat pembelaan sewajarnya tanpa campur tangan mana-mana pihak atau menjadi mangsa komplot pihak yang berdendam.

“Kini sudah lebih setahun ayahanda Najib Razak dipenjarakan.

“Saya tidak berhenti berdoa ketika negara sedang sambut tahun kemerdekaan yang ke-66, ayahanda saya akan bebas, dimerdekakan daripada sebarang kezaliman, penganiayaan dan komplot yang dahsyat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Hamid Sultan melalui artikel tulisannya dalam ruang pendapat FMT kelmarin antara lain membangkitkan tentang pelbagai kontroversi yang dilihatnya berlaku dalam kes SRC International.

Mohd Nizar menambah, antara perkara yang disentuh Hamid Sultan adalah pelantikan seorang hakim junior yang hanya mempunyai pengalaman sivil untuk mendengar kes jenayah paling berprofil tinggi sedangkan ada hakim-hakim yang jauh lebih berpengalaman untuk mengendalikan kes tersebut.

“Ini adalah sebaliknya berbanding amalan biasa yang digunakan berpuluh tahun lama iaitu untuk menurunkan hakim yang lebih kanan dan berpengalaman untuk mengendalikan kes berprofil tinggi,” jelasnya.

Selain itu, menurut beliau, Hamid Sultan turut menulis tentang isu-isu berkaitan seorang hakim yang jelas terpalit dengan konflik kepentingan ekoran laporan media mengenai hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Mohd Nizar berkata, Hamid Sultan juga mengulas mengenai tindakan pendaftar Mahkamah Persekutuan yang menetapkan tarikh pendengaran rayuan kes Najib sebelum permohonannya untuk diwakili oleh Peguam Diraja United Kingdom didengar.

“Malah permohonan untuk memasukkan bukti tambahan tidak dibenarkan sama sekali sekali gus menafikan hak universal Najib untuk mendapat pembelaan yang diinginkannya,” jelasnya.

Beliau memberitahu, Hamid Sultan telah menyuarakan kesedihannya ekoran tekanan serta kecaman yang dilemparkan terhadap peguam utama Najib, Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang merupakan seorang peguam mempunyai reputasi yang baik dan sangat berpengalaman dalam mengendalikan kes jenayah.

“Akhirnya ayahanda Najib dibiarkan dalam keadaan tiada peguam untuk mewakilinya, sekali gus menafikan hak perlembagaannya untuk dibela.

“Pendapat ini adalah seiring dengan keputusan semakan kehakiman Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli pada Mac lalu bahawa Najib telah dinafikan perbicaraan yang adil dan patut dibebaskan dan dilepaskan serta-merta,” katanya.

Mohd Nizar berkata, Hamid Sultan juga menyebut tentang draf alasan penghakiman telah disebarkan sebelum perayu didengar sepenuhnya seperti yang dikehendaki di bawah Seksyen 92 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 dan sebelum proses rayuan selesai.

“Seakan-akan keputusan sudah dibuat dan tiada makna hujah pembelaan diteruskan,” katanya.

Mohd Nizar turut menekankan tentang kesimpulan yang dibuat oleh Hamid Sultan bahawa para peguam dan hakim dalam Malaysia mestilah terdiri daripada mereka yang mempunyai nilai etika yang mulia di samping mempunyai ilmu undang-undang yang mendalam.

“Ini adalah untuk memastikan hak semua rakyat untuk membela diri dalam Perlembagaan Persekutuan adalah terjamin dan tuntas,” jelasnya. – MalaysiaGazette