Khaled Nordin mengadakan lawatan ke Oppstar Berhad di Bangunan I2U Sains@ USM di George Town, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan rancangan Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (Umany) untuk memfailkan semakan kehakiman terhadap Garis Panduan Aktiviti Hiburan (Konsert) di institusi pengajian tinggi (IPT) sebagai membuang masa.

Jelas beliau, ia susulan pihaknya sendiri tidak meluluskan garis panduan tersebut.

“Garis panduan itu tidak ada sebab saya tak luluskan. Buang masa (failkan semakan kehakiman) untuk sesuatu perkara yang saya tidak luluskan.

“Malah saya serahkan kepada pelajar untuk membuat garis panduan konsert.

“Mengapa mahu mempolitikkan isu ini? Sedangkan ada banyak lagi cara lain untuk popular,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Oppstar Berhad di Bangunan I2U Sains@ USM di sini hari ini.

Khaled Nordin (tengah) mengadakan lawatan ke Oppstar Berhad di Bangunan I2U Sains@ USM Pulau Pinang hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan UMANY dikatakan akan memfailkan semakan kehakiman ke atas cadangan Garis Panduan Aktiviti Hiburan (Konsert) di IPT seliaan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Media semalam melaporkan Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (UMANY) akan memfailkan semakan kehakiman ke atas cadangan Garis Panduan Aktiviti Hiburan (Konsert) di institusi pengajian tinggi (IPT) seliaan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Menerusi kenyataannya, UMANY berkata, tindakan itu perlu dibuat bagi melindungi autonomi mahasiswa yang didakwa semakin berkurangan jika cadangan garis panduan sedang dirangka Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) itu diluluskan.

Katanya, UMANY khuatir cadangan garis panduan itu akan mengakibatkan pelbagai sekatan tidak munasabah bagi aktiviti sedemikian pada masa hadapan, sekali gus berkemungkinan merencatkan hak kebebasan bersuara dalam kalangan mahasiswa.

“Biar pun Menteri Pengajian Tinggi mendakwa garis panduan berkenaan belum diluluskan namun tiada dokumen bertulis yang menyatakan ia ditarik balik.

“Sehubungan itu, UMANY memohon orang ramai menyalurkan bantuan kewangan bagi membiayai hasrat persatuan berkenaan memfailkan semakan kehakiman ke atas cadangan garis panduan terbabit,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast