Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) berjaya memperoleh kutipan kompaun dan denda berjumlah RM1.4 juta bagi kesalahan pencerobohan tanah kerajaan negeri sehingga Ogos tahun ini.

Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, sebanyak 96 kes telah berjaya dibanteras UPNP melibatkan sitaan jentera dan eksibit sebanyak 229 buah.

Pada tahun lalu, UPNP telah berjaya mengutip kompaun dan denda sebanyak RM1.5 juta dengan sebanyak 133 kes dicatatkan dan melibatkan 177 jentera dan eksibit yang disita merangkumi kesalahan Kanun Tanah Negara, Enakmen Mineral Negeri Pahang, Akta Perhutanan Negara dan Enakmen Sumber Air Pahang.

“Selain itu, kerajaan Negeri Pahang juga menekankan pendakwaan dijalankan bagi semua kesalahan sebagai pengajaran dan contoh supaya tiada pihak sewenangnya menceroboh tanah kerajaan negeri.

“Menyambut baik hasrat itu, sebanyak lapan kes telah dibawa ke muka pengadilan, melibatkan kesalahan Pasir Silika di Kuantan telah dijatuhkan hukuman denda RM200,000 atau penjara setahun, serta semua jentera yang disita telah diperintahkan untuk dilucuthak kepada kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Shafik Fauzan Sharif (Inderapura – BN) pada Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan Mesyuarat Ke-2 Penggal Ke-2 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.

Wan Rosdy juga berkata, keberhasilan penguatkuasaan yang dijalankan UPNP tidak boleh dinilai menerusi kutipan kompaun atau denda sahaja sebaliknya boleh ditafsirkan secara tidak langsung dengan peningkatan hasil di Pejabat Daerha dan Tanah serta anak syarikat negeri.

“Sebagai contoh kutipan royalti bahan batuan daerah Temerloh, meningkat 150 peratus iaitu dari RM2.3 juta pada tahun 2021 kepada RM3.5 juta pada tahun 2022.

“Daerah Lipis meningkat 169 peratus iaitu dari RM385, 000 pada tahun 2021 kepada RM653, 000 tahun lalu,” ujarnya.

Katanya lagi, selain tindakan sitaan dan tangkapan, UPNP juga menjalankan tindakan penguatkuasaan di atas tanah milik anak syarikat negeri Pahang dan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) selaras Seksyen 425 (2) Kanun Tanah Negara bagi membantu syarikat seperti Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) Pahang, Pahang Corporation Sdn Bhd, Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands dan Kementerian Dalam Negeri.

“Bantuan tindakan penguatkuasaan ini penting kerana selepas peneroka haram berjaya dibanteras, pelabur dan pemajak tanah berkaitan boleh membawa masuk pelaburan baru dan meningkatkan hasil bagi Kerajaan Negeri Pahang.

“Sehingga kini, UPNP telah berjaya menjalankan tindakan penguatkuasaan bagi tanah seluas 1,360 ekar dan membolehkan tanah berkaitan ini dipajak dan diusahakan secara komersil bagi meningkatkan hasil Negeri Pahang,” katanya.

Menjawab soalan tambahan yang dikemukakan, Wan Rosdy berkata, dalam melaksanakan tugas UPNP, ia perlu melibatkan jalinan kerjasama beberapa agensi.

“Sudah tentu UPNP perlu menjalinkan kerjasama dengan agensi seperti Polis DiRaja Malaysia, Suruhanajaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jabatan Mineral dan Geosains Pahang dan lain-lain.

“Kerajaan negeri melalui UPNP akan memberikan kerjasama sebaiknya begitu juga sebaliknya dari agensi-agensi terlibat. Kalau tidak, mana mungkin kita berjaya membanteras dan meminimakan kegiatan penerokaaan haram di negeri Pahang,” katanya. – MalaysiaGazette