Pakar Bedah Terbaik Asia Pasifik, Dr Mustafa Mohamed Taher bercakap pada sidang media bersama artis yang melakukan pembedahan bariatrik di Hadramawt Kitchen, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 05 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Pesakit-pesakit yang menjalani pembedahan bariatrik bukan hanya sekadar dilayan ketika sedang mendapatkan rawatan sebaliknya, mereka akan dipantau sekurang-kurangnya untuk tempoh lima tahun.

Langkah itu bagi memastikan pesakit-pesakit yang menjalani pembedahan tersebut akan sentiasa berada dalam keadaan sihat serta tidak menghadapi sebarang masalah kesihatan mahupun komplikasi selepas itu.

Pakar bedah bariatik, Dr Mustafa Mohamed Taher berkata, pesakit akan dipantau untuk tempoh-tempoh tertentu bergantung kepada rawatan yang dijalankan terhadapnya.

“Kita bukan hanya buat surgeri (pembedahan) lepas itu bye bye...tiada touch n go. Kita akan ada satu perjalanan yang panjang.

“Sebab itu kita buat benda ini (pembadahan) untuk gaya hidup. Kita akan pastikan ada follow up sampai lima tahun untuk pesakit kita…bukan sekadar mereka buat pembedahan sahaja,” katanya pada sidang media bagi meraikan kejayaannya sebagai salah seorang pakar bedah bariatik di Asia Tenggara, di sini, hari ini.

Bagaimanapun Dr Mustafa berkata, pemantauan susulan itu bergantung kepada pesakit terbabit.

Katanya, jika seseorang pesakit itu mempunyai berat badan yang lebih maka mereka akan menerima pemantauan yang kerap berbanding pesakit-pesakit lain.

Sementara itu, ditanya mengenai pembedahan yang dilakukan sama ada rawatan seumpama itu mempunyai hubung kait dengan langkah pengabaian penjagaan kesihatan, Dr Mustafa menjelaskan, ia bergantung kepada gaya hidup dan pemakanan rakyat di negara-negara tertentu.

Beliau menjelaskan, di Malaysia pemakanan terlalu mewah hingga menyebabkan ramai yang mudah menghidap penyakit seperti kencing manis dan darah tinggi.

Mengambil contoh rakyat dikebanyakan negara di Asia seperti Indonesia dan Thailand, individu yang sama dengan berat badan yang sama serta penyakit yang sama dialami, namun jika dibandingkan dengan rakyat Malaysia mereka mungkin hanya memerlukan sejenis ubat tetapi, tidak kepada rakyat di negara ini.

Hal itu katanya, berlaku disebabkan cara hidup dengan pemakanan yang mewah menjadi punca mengapa orang Malaysia terpaksa mengambil ubat untuk kencing manis dan darah tinggi lebih daripada satu.

“Kalau umur 40 lebih itu biasa kalau dapat penyakit kencing manis dan darah tinggi, padahal benda ini tak betul.

“Maknanya kita nak tingkatkan kesedaran dan pendidikan kepada pesakit dengan mengatakan bahawa pencegahan lebih baik daripada perawatan.

“Bila mahu rawat pesakit yang ada obesiti adalah lebih baik kita rawat orang itu sebelum dia dapat obesiti,” ujarnya.

Pakar Bedah Terbaik Asia Pasifik, Dr Mustafa Mohamed Taher menunjukkan sijil pengiktirafan di Hadramawt Kitchen, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 05 SEPTEMBER 2023.

Pembedahan bariatrik yang dianggap sebagai pembedahan kosmetik kini semakin menjadi pilihan sebagai rawatan klinikal untuk mengatasi masalah berat badan berlebihan atau obesiti.

Prosedur itu bukan saja boleh mengatasi masalah obesiti, tetapi turut memberikan manfaat daripada sudut kesihatan.

Ini kerana keberkesanannya membantu golongan itu pulih daripada penyakit metabolik seperti darah tinggi, kolesterol tinggi dan paling utama, kencing manis. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast