Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang, Noor Azleen Ambros menyampaikan ucapan perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto UMNO ONLINE, 10 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Keputusan Mahkamah Tinggi semalam melepas tanpa membebaskan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atas 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi merupakan satu kelegaan buat parti.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros berkata, keputusan itu amat dialu-alukan.

“Satu keputusan yang saya yakin memberi satu kelegaan kepada pimpinan UMNO di setiap peringkat. Keputusan pendakwa raya untuk tidak meneruskan prosiding dengan mengemukakan 11 hujah dan alasan juga bagi Pemuda UMNO Johor jelas menunjukkan bahawa segala pertuduhan yang dihadapi beliau sebelum ini adalah bersifat politik dan cubaan salah guna badan kehakiman untuk menjatuhkan UMNO,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Jabatan Peguam Negara (AGC) agar prosiding perbicaraan diberhentikan bagi kesemua pertuduhan terhadap Timbalan Perdana Menteri itu.

Terdahulu, Ketua Bahagian Rayuan dan Perbicaraan Jabatan Peguam Negara (AGC), Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar menggariskan 11 alasan bagi menyokong permohonan agar Ahmad Zahid dilepas tanpa dibebaskan bagi kesemua pertuduhan.

Antara alasan itu termasuk pihak pendakwaan perlu mengkaji keterangan saksi-saksi pada perbicaraan itu serta bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan lanjut terhadap bukti baharu yang dikemukakan Ahmad Zahid.

Dalam pada itu, Noor Azleen berharap pengumuman tersebut dapat mengembalikan imej Ahmad Zahid untuk mengemudi parti ke arah yang lebih baik di masa akan datang.

“Untuk itu, wibawa, imej serta kredibiliti UMNO yang diketuai beliau diharap akan menjadi lebih baik demi untuk memastikan UMNO dapat kembali menawan minda dan hati orang Melayu melalui segala usaha dan ikhtiar baiknya,” katanya lagi.

Ahmad Zahid sebelum ini dihadapkan ke mahkamah pada tahun 2018, manakala perbicaraan bermula pada 2019 dengan mendengar keterangan 99 saksi pendakwaan.

Pada April lalu, Ahmad Zahid mengemukakan representasi kepada AGC mengandungi fakta dan bukti baharu dalam usaha menggugurkan 47 pertuduhan itu.

Representasi melebihi 200 muka surat yang dihantar terus kepada Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Idrus Harun yang mana representasi tersebut mengandungi asas untuk pertimbangan agar pertuduhan yang dihadapi Timbalan Perdana Menteri digugurkan.

Sebelum ini, pihak pendakwaan memaklumkan pihaknya memerlukan masa yang mencukupi bagi meneliti representasi panjang lebar lebih 200 muka surat yang mengandungi isu kompleks berkaitan pertuduhan. – MalaysiaGazette