Banjir di bandar Samsun, Turkiye. Foto X

ANKARA – Banjir akibat hujan lebat telah menyebabkan sekurang-kurangnya 10 kematian di Bulgaria, Turkiye dan Greece.

Di Bulgaria, gambar dari kawasan Tsarevo menunjukkan air banjir yang bergerak pantas cukup dalam untuk menenggelamkan kereta.

Pihak berkuasa di sana berkata, dua lelaki dan seorang wanita maut – mayat wanita itu dikatakan telah dihanyutkan ke laut.

Salah seorang lelaki yang maut itu bekerja di rumah seorang ibu dan anak perempuan yang masih hilang, kata media Bulgaria.

Sungai melimpah dan pihak berkuasa sedang berusaha untuk memindahkan pelancong dari tapak perkhemahan di Arapya, di luar Tsarevo.

Sebuah jambatan runtuh di selatan bandar dan terdapat laporan tiga orang yang berada di atasnya pada masa itu hilang.

Menteri Alam Sekitar Julian Popov berkata, Bulgaria perlu menjangkakan hujan yang lebih serius dan lebih kerap pada masa hadapan kerana perubahan iklim.

Dalam pada itu, air mengalir melalui jalan-jalan di bandar terbesar diĀ  Istanbul, menghanyutkan kereta dan memerangkap orang ramai di perpustakaan tempatan.

Dua orang maut di bandar itu, apabila banjir kilat menjadikan jalan di beberapa daerah barat menjadi sungai, dan stesen metro di Kayasehir dinaiki air.

Salah seorang yang maut ialah seorang wanita yang dilaporkan dihanyutkan air.

Tiga lagi orang maut dan tiga hilang di wilayah Kirklareli, tidak jauh dari sempadan barat laut Turkiye dengan Bulgaria.

Beberapa rumah dihanyutkan oleh banjir di bandar Igneada di Pantai Laut Hitam.

Hujan lebat dan banjir telah menyebabkan dua kematian di Greece, yang telah dipukul oleh Ribut Daniel.

Kawasan paling teruk terjejas ialah pantai tengah Magnesia, yang menurut ahli meteorologi telah mengalami hujan yang banyak dalam 24 jam seperti yang biasa dialami sepanjang musim luruh.

Mayat seorang lelaki ditemui selepas dinding jatuh menimpanya di Volos pada Selasa dan seorang wanita berusia 87 tahun ditemui mati di wilayah yang sama pada Rabu.

Tanah runtuh menutup jalan dan ramai penduduk warga emas di kawasan sekitar Mt Pelion terperangkap di dalam rumah mereka. – Agensi