JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor akan memastikan remaja lelaki yang terlibat dalam kemalangan jalan raya sehingga mengorbankan enam ahli keluarganya, mendapat rawatan yang terbaik di Hospital Segamat.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor Ling Tian Soon berkata Abdullah Amir Ruddin yang mengalami kecederaan teruk, ketika ini masih ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan berada dalam keadaan stabil.
“Abdullah masih dalam pemantauan pasukan perubatan dan ditidurkan dalam ICU, kita lihat keadaannya juga adalah stabil, sama seperti sebelum ini.
Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas merasmikan Majlis Penyerahan Peralatan Rondaan Skim Rondaan Sukarela (SRS) dan Bantuan Rahmah di Zon Pulai, di Taman Bukit Kempas, di sini malam tadi.
Ling turut menyeru kepada orang ramai, khususnya saudara dan komuniti untuk terus memberikan sokongan positif kepada abang sulung remaja terbabit, iaitu Abdul Rahman Amir Ruddin,19.
Kemalangan pada 1 Sept lepas di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan, telah mengorbankan bapa dan ibu mangsa iaitu Amir Ruddin Ismail, 46, dan Norahimah Noor Muhammad, 43.
Turut maut empat lagi adik-beradik mangsa, Fatimatulzahrah, 17, Seri Khadijah Aqilah, 13, Rufaidatul Asyariyah, 10, dan Muhammad Assyakrawi, 5, setelah kereta Perodua Alza yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori.
— BERNAMA