Seorang pekerja menyusun peket beras ketika tinjauan harga beras di pasar raya di sekitar Puncak Alam, Selangor. Foto QURRATU AINI, 6 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Kekurangan beras tempatan dalam pasaran sudah dijangka, malah kerajaan juga sudah diberi amaran awal sebelum kenaikan harga beras import sebanyak RM3,200 bagi setiap tan baru-baru ini.

Para peserta industri beras berkata, ‘isyarat’ itu diberikan kerana industri beras mempunyai rantaian yang luas, lebih-lebih lagi ia melibatkan makanan ruji utama di negara ini.

Sumber industri berkata, walaupun kenaikan harga beras import kepada RM3,200 metrik tan baru sahaja diumumkan tetapi tanda-tanda kenaikan sudah pun diketahui sejak awal tahun lagi.

‘Isyarat’ ini bukan sahaja berlaku di Malaysia, tetapi di seluruh dunia.

Jelasnya, pasca pandemik Covid-19 memberi impak besar kepada seluruh sektor ekonomi dunia termasuk beras, ditambah pula dengan perubahan iklim.

Jadi, apabila berlaku kenaikan harga pada beras import, apa yang berlaku ialah pengilang swasta didapati mengeluarkan lebih banyak komoditi ini kerana lebih menguntungkan berbanding beras tempatan.

“Sebabnya mudah. Jual beras import lebih untung berbanding jual beras tempatan yang mana harganya kekal RM26 sejak 10 tahun lalu.

“Pemborong pula ada masalah lain. Walaupun membeli beras tempatan daripada pengilang sebanyak RM2,250 metrik setiap tan – bermakna RM22.50 sekilogram tetapi margin untung sangat kecil.

“Pada harga tersebut, pemborong terpaksa menanggung kenaikan gaji minimum pekerja sebanyak RM1,500, harga bungkusan beras juga naik dari 33 sen 10 tahun lalu sekarang sudah jadi 60 sen, kenaikan bil utiliti dan sebagaainya.

“Dengan segala kenaikan kos yang terpaksa ditanggung ini, pemborong hanya untung kira-kira 30 sen sekampit beras RM10 kilogram. Berbaloi tak?.

“Semua isu-isu ini sudah pun dibangkitkan kepada kerajaan,” kata peserta industri yang mengulas mengenai kekurangan bekalan beras tempatan dalam pasaran.

Tambahnya, keadaan meruncing apabila kebanyakan pesawah menjual buah padi mereka kepada pengilang swasta untuk mendapat harga yang lebih mahal berbanding PadiBeras Nasional Berhad (Bernas), sedangkan kilang-kilang tersebut menumpukan pengeluaran beras import yang lebih menguntungkan.

Pada masa sama, situasi diburukkan lagi apabila India mula menyekat eksport beras, yang kini turut diikuti oleh Thailand memadangkan negara-negara tersebut juga mengalami isu bekalan disebabkan faktor-faktor yang dinyatakan.

“Mengambil kira semua faktor ini, maka berlakulah kekurangan bekalan beras tempatan pada masa sekarang,” sambungnya lagi.

Namun, sumber tidak menolak, kekurangan bekalan beras kemungkinan tidak berlaku jika harga beras tempatan dinaikkan kepada RM28 bagi 10 kilogram seperti yang minta oleh industri.

“Kita tahu kerajaan sukar untuk membenarkan kenaikan harga beras tetapi inilah realiti dunia hari ini. Kenaikan barang berlaku akibat pelbagai punca. Kerajaan mahu memelihara kesejahteraan rakyat tetapi bagaimana dengan survival peniaga?

“Peserta industri percaya, kerajaan mempunyai pelbagai alternatif untuk menangani isu ini termasuk memberi subsidi, seperti mana yang dibuat kepada ayam dan telur ayam,- cumanya antara cepat dan lambat sahaja keputusan dibuat.

“Jika lambat, keadaan pastinya bertambah runcing,” ujarnya lagi.

Kerajaan juga, menurutnya, boleh memberi amaran kepada pengilang untuk menambah pengeluaran tetapi ia bergantung kepada pengeluar memandangkan bisnes melibatkan untung dan rugi.

Tetapi, dalam aspek bekalan Malaysia masih belum sampai ke tahap kritikal kerana negara masih memiliki stok penimbal berjumlah 290,000 tan metrik.

“Apapun, isu bekalan ini perlu ditangani dengan tuntas demi melegakan keresahan pengguna sekarang,” tambahnya yang mengakui bekalan beras tempatan sememangnya semakin susut dalam pasaran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast