Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Yb Nga Kor Ming hadir pada sidang media penubuhan Majlis Ekonomi Kitaran Bagi Sisa Pepejal di Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan, Putrajaya. Foto WAN NABIL NASIR, 07 SEPTEMBER 2023.

PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menetapkan sasaran baharu kadar kitar semula di negara ini kerana ia jauh ketinggalan berbanding kadar ditetapkan di peringkat antarabangsa.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, ketika ini, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) menetapkan sasaran 40 peratus menjelang 2025 berbanding 60 peratus hingga 70 peratus di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, kadar kitar semula di Malaysia ketika ini adalah pada tahap 33.1 peratus dan dua tahun lagi diperlukan bagi mencapai sasaran 40 peratus.

“Sasaran baharu kadar kitar semula itu akan ditentukan oleh Majlis Ekonomi Kitaran Bagi Sisa Pepejal (NCEC) yang akan bermesyuarat kali pertama pada Disember depan,” katanya pada sidang media sempena Penubuhan Majlis Ekonomi Ekonomi Kitaran Bagi Sisa Pepejal di kementeriannya, di sini, hari ini.

Menurut Kor Ming, NCEC telah diluluskan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 23 Ogos lalu sebagai platform nasional bagi mempercepatkan agenda peralihan pengurusan sisa pepejal negara.

Ujarnya, NCEC iitu turut telah mendapat sokongan daripada 15 buah kementerian dan bakal memberi tumpuan kepada enam elemen yang menyokong ekosistem kitaran.

Jelasnya, enam elemen itu termasuk membangunkan pasaran kitar semula, mereka bentuk produk kitar semula, menggalakkan pengasingan sisa dipunca, menyedia kemudahan infrastruktur, membangunkan sistem data bersepadu dan mewujudkan platform kerjasama awam, swasta dan komuniti.

Katanya, pengurusan sisa pepejal berkonsepkan ekonomi kitaran berpotensi merancakkan aktiviti ekonomi masyarakat melalui pewujudan peluang perniagaan baharu apabila permintaan dan pasaran barangan kitar semula meningkat.

Ujarnya, ia juga akan membuka lebih banyak tawaran pekerjaan dalam rantaian nilai ekonomi kitaran seperti reka cipta, perkhidmatan sewaan, perkhidmatan pembaikan, pembuatan semula dan aktiviti kitar semula. – MalaysiaGazette