Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap kepada media selepas menunaikan solat jumaat di Masjid Jamek Bandar Baru Sri Petaling, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 08 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan tidak mencampuri keputusan kes melibatkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, Tan Sri Idrus Harun mengambil tanggungjawab membuat keputusan melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid sebelum tempoh jawatannya sebagai Peguam Negara tamat pada 5 September lalu.

Katanya, Idrus membuat keputusan berkenaan selepas membaca dokumen bocor yang ditulis oleh Jabatan Peguam Negara yang tidak tidak bersetuju dengan pendakwaan tersebut ketika zaman Tan Sri Tommy Thomas menjadi Peguam Negara.

Anwar berkata, Idrus memaklumkan keputusan untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadap Ahmad Zahid kepadanya.

“Dia juga lihat pencanggahan. Tentunya saya sebagai Perdana Menteri tahu kesan tuduhan yang dilemparkan saya terpaksa bertanya panjang kepada Peguam Negara kenapa keputusan begitu. Mengapa sekarang?

“Kalau tanya saya, (kalau) saya ada kuasa, saya nak tangguh. Sebab saya hendak melepaskan semua ini (selepas) pilihan raya.

“Tapi Peguam Negara (Idrus) tak bersetuju, kata tarikh awal mahkamah ialah 4 haribulan dan 5 haribulan (September) tarikh akhir beliau, jadi beliau jalankan tanggungjawab dan tak mahu lepaskan tanggungjawab yang dia uruskan kepada yang lain,” katanya kepada media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Seri Petaling hari ini.

Anwar tidak boleh menghalang keputusan yang dibuat oleh Idrus sebagai Peguam Negara ketika itu.

Katanya, semua pihak perlu berlaku adil kerana sebelum ini ramai tokoh terlepas dan tidak menjadi isu.

“Saya tak salahkan rakyat yang mahu penjelasan lanjut tetapi kalau kita baca 11 perkara yang dibentangkan di mahkamah di hadapan hakim, hakim berpuashati.

“Orang salahkan hakim, hendak bebankan hakim. Tidak. Ini proses dia sedemikian rupa. Saya tidak fikir adil kita jatuhkan hukuman kerana kita tidak suka orang politik.

“Semua kes berbeza, banyak kes terlepas sama ada sebelum atau selepas perbicaraan. Bersabar dan baca (11 alasan dibentangkan pendakwa),” kata Anwar.

Presiden UMNO, Ahmad Zahid dilepas tanpa dibebaskan atas 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Jabatan Peguam Negara agar prosiding perbicaraan diberhentikan bagi kesemua pertuduhan terhadap Timbalan Perdana Menteri itu.

Terdahulu Ketua Bahagian Rayuan dan Perbicaraan Jabatan Peguam Negara, Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar menggariskan 11 alasan bagi menyokong permohonan agar Ahmad Zahid dilepas tanpa dibebaskan bagi kesemua pertuduhan.- MalaysiaGazette