Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman sedang menyiasat kematian mengejut dalam tahanan seorang suspek kes dadah yang berlaku di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda, Kedah.

Pengarahnya, Datuk Seri Azri Ahmad berkata, pada 7 September lalu, mangsa  seorang lelaki berusia 39 tahun telah ditangkap di bawah Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Suspek yang merupakan seorang warga tempatan telah dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Kuala Muda, Kedah untuk tindakan lanjut.

“Semasa proses dokumentasi, orang kena tahan (OKT) itu telah mengadu sakit dan pihak hospital telah segera dihubungi untuk mendapatkan bantuan serta merta,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Tambah Azri, pegawai perubatan dari Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani telah hadir dan memeriksa OKT sebelum telah mengesahkan kematiannya.

Bedah siasat telah pun dijalankan ke atas mayat OKT di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar pada 8 September lalu pukul 10 pagi.

“Ujian pengesanan Covid-19 juga telah dibuat ke atas si mati dan keputusan disahkan negatif.

“Punca kematian OKT masih belum dapat disahkan (pending laboratory investigations) dan sementara menunggu keputusan makmal, kematian diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan, JIPS Bukit Aman akan meneruskan siasatan dari pelbagai sudut sebelum menyerahkan hasil siasatan kepada koroner,” kata Azri lagi.-MalaysiaGazette