Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang akan dibentangkan pada Isnin ini akan memperlihatkan sebuah rangka tindakan komprehensif yang baharu dalam perancangan peruntukan belanjawan negara, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Beliau berkata, sebelum ini kajian separuh penggal hanyalah untuk menilai prestasi tetapi KSP RMK-12 lebih unik kerana perancangan sedia ada perlu dinilai semula secara total antara lain disebabkan pandemik Covid-19 yang melanda negara dan dunia dari 2020 hingga 2022.

“Sebelum ini kajian separuh penggal hanyalah untuk menilai prestasi tetapi untuk kali ini, ia adalah unik disebabkan dua perkara, pertama kerana penularan Covid-19 yang telah merubah banyak perkara menyebabkan perancangan RMK-12 untuk tempoh 2021 hingga 2025 perlu dinilai semula 100 peratus.

“Ini kerana banyak tanggapan atau perancangan yang dibuat sebelum penularan Covid-19 itu sudah tidak boleh diguna pakai, atau dalam kata lain seolah-olah KSP yang akan dibentangkan ini ialah satu perancangan yang baharu untuk negara,” katanya dalam satu klip video yang dimuat naik di laman Facebooknya semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual membentangkan KSP RMK-12 di Parlimen, Isnin ini.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata dengan Kerajaan Perpaduan kini mengemudi pentadbiran negara, KSP RMK-12 juga akan mengambil kira kerangka Ekonomi Madani yang telah dilancarkan Perdana Menteri yang antara lain menggariskan dua sasaran utama iaitu untuk menaikkan siling dan menaikkan lantai.

Beliau berkata, menaikkan siling bermaksud mengangkat ekonomi nilai tinggi dengan gaji tinggi, kandungan teknologi dan nilai yang lebih baik dan menarik pelaburan-pelaburan syarikat gergasi dunia dengan mereka bukan sahaja membawa masuk pelaburan tetapi juga industri dan bentuk ekonomi yang boleh memacu negara ke hadapan terutamanya dalam bidang teknologi.

“Menaikkan lantai pula bermakna kita nak memastikan bahawa kalau ekonomi kita berkembang dengan lebih pesat dan ada lebih banyak kekayaan yang dihasilkan daripada pertumbuhan ekonomi itu, agihannya hendaklah adil kepada semua.

“Tumpuan kita adalah untuk memastikan sebarang perancangan ekonomi itu walaupun ia tidak gah seperti sebelum ini, bukan projek berpuluh-puluh bilion tetapi jumlah wang dan peruntukan itu diagihkan kepada rakyat termasuklah melalui Dasar Gaji Progresif supaya kita dapat merasai limpahan daripada ekonomi sampai kepada rakyat terbanyak melalui tangga gaji yang lebih baik,” katanya.

Dengan tema “Menjana Semula Ekonomi, Memperkukuh Keselamatan, Kesejahteraan dan Inklusiviti dan Melonjakkan Kemampanan” RMK-12 telah dibentangkan oleh Perdana Menteri kesembilan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 27 September 2021 dengan peruntukan pembangunan dianggarkan berjumlah RM400 bilion. – MalaysiaGazette