rakaman CCTV yang dirampas polis memaparkan jenayah pecah rumah suspek pemandu lori dalam kejadian Rabu lalu. Ihsan IPD Ampang Jaya

AMPANG – Seorang pemandu lori ditahan polis kerana disyaki menyamun dan memecah masuk rumah di Taman Dagang Permai, Ampang Jaya, di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5.50 pagi mangsa yang bangun dari tidur mendapati tingkap dapur terbuka dan grillnya dipercayai dimasuki pencuri.

“Pengadu kemudian telah membuat pemeriksaan lanjut sebelum mendapati empat beg tangan berjenama yang diletakkan di atas kerusi di bahagian dapur telah hilang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Mohd Azam, bertindak atas laporan pengadu, kira-kira jam 12 tengah hari semalam, sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya melakukan tangkapan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam jenayah tersebut di rumah pangsa di Puchong, Selangor.

Katanya, pemeriksaan ke atas suspek yang berusia 41 tahun itu mendapati beliau diysaki menjadi ahli kongsi gelap Geng 08.

“Semakan lanjut polis mendapati, suspek mempunyai 13 rekod kesalahan jenayah dan 12 rekod narkotik lampau selain ujian air kencing ke atas suspek turut disahkan positif dadah jenis Methamphetamine.

“Tangkapan suspek juga membawa kepada rampasan seunit Pemprosesan Pusat (CPU), seunit Playstation 3, enam telefon bimbit, dua beg tangan, satu beg laptop, tiga utas jam tangan, dua buah kamera, satu dash cam, tujuh utas rantai leher, dua pasang kasut, sebotol minuman keras, satu sarung muka, sehelai seluar jeans, sekeping plat kekuningan dan wang tunai campur RM170 yang disyaki hasil samun,” katanya.

Tambah beliau, siasatan mendapati modus operandi suspek ialah mengumpil pintu dan tingkap belakang rumah di kawasan perumahan yang tidak mempunyai pengawal keselamatan.

Justeru, semakan juga mendapati suspek terlibat dalam empat kes samun dan pecah rumah di daerah Ampang.

Menurut Mohd. Azam, suspek telah dibawa ke Mahkamah Ampang pagi ini bagi mendapatkan perintah reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun keseksaan kerana melakukan kesalahan pecah rumah bagi tujuan melakukan curi dan boleh dihukum penjara maksimum 14 tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Jelasnya, suspek juga disiasat mengikut Seksyen 52(3) Akta Pertubuhan 1966 berikutan memiliki lambang tatu kumpulan kongsi gelap yang diisytiharkan sebagai menyalahi undang-undang yang mana ia memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih daripada lima tahun atau denda tidak lebih daripada RM15,000. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast