Fadzli (dua dari kanan) menyampaikan piala johan keseluruhan KESSUMA kepada ketua kontinjen Terengganu sambil disaksikan Hakimah (dua dari kiri).

TERENGGANU – Kontinjen Terengganu menjuarai keseluruhan Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Menengah Agama Malaysia (KESSUMA) peringkat Kebangsaan kali ke-22 bagi tahun ini.

KESSUMA adalah program tahunan anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Pendidikan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri Pahang.

Kejohanan itu kali ini berlangsung selama lima hari mulai 4 hingga 8 September di lapangan Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Islam Antarabangsa Kuantan Pahang (UIAKP).

Majlis perasmian penutup disempurnakan Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan negeri, Fadzli Mohd Kamal yang mewakili Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Turut hadir, Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff dan Pengarah JAINP, Datuk Dr. Zulkifle Ali Al-Hafiz.

Objektif program adalah untuk menerapkan nilai kesejahteraan dan kemuafakatan serta silaturahim antara pasukan sekolah agama.

Selain, sebagai medan melahirkan pelajar cergas fizikal, minda dan meningkatkan semangat kesukanan serta jaguh sukan yang hebat di negara.

Antara pasukan dari 12 negeri yang menyertai KESSUMA di Terengganu semalam.

Di samping itu, KESSUMA juga bertujuan menyantuni dan mengiktiraf kerjasama strategik antara JAKIM sebagai agensi bertanggungjawab dalam melaksana di peringkat kebangsaan sebagai lanjutan pertandingan di negeri.

JAINP dipilih sebagai tuan rumah tahun yang menyaksikan penyertaan dari 12 negeri dengan keseluruhan kontinjen melebihi 2,300 peserta.

Peserta KESSUMA adalah pelajar program KAFA dan Sekolah-Sekolah Menengah Agama yang bernaung di bawah Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Islam Kebangsaan (JPPIK). – MalaysiaGazette