KUALA LUMPUR – Perpaduan antara rakyat berbilang kaum di kawasan bandar besar masih kekal utuh apabila mereka saling bekerjasama dan membantu di dalam komuniti.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, ia terjalin erat apabila gerak kerja komuniti di Kuala Lumpur ini melibatkan struktur menerusi penubuhan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP).
Jelas beliau, sebagai contoh di Segambut, pihaknya tidak pernah meminggirkan semua persatuan penduduk untuk turut sama dalam isu trafik, pembangunan dan kebersihan.
“Semua ini dibincangkan dalam MPP dan di sini sini kita boleh lihat perpaduan di Parlimen Segambut kukuh dan saya gembira dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia serta banyak program komuniti dianjurkan untuk membentuk perpaduan,” katanya.
Beliau yang merupakan Ahli parlimen segambut berkata demikian ketika merasmikan acara Malam Muhibbah sempena Ulang Tahun Ke-9 VERVE® Shops Mont’Kiara, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Hannah memberitahu, keutuhan perpaduan wujud di kawasan urban kerana peranan penting yang dimainkan di peringkat akar umbi.
Kata beliau, walaupun Segambut adalah kawasan bandar, pihaknya sering berbincang bersama MPP selain menganjurkan banyak program bersama.
“Tidak kira golongan T20 hingga B40 semua bergaul bersama dalam zon ini juga Mont Kiara dan penduduk Kampung Segambut Bahagia Tambahan.
“Semua dalam satu zon, dan kita boleh lihat ketika PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) banyak bantuan diberikan kepada penduduk melalui komunuti sendiri walaupun masa itu saya pembangkang dan peruntukan sangat terhad.
“Semua persatuan penduduk memainkan peranan mereka mebantu sama ada banjir dan contoh terbaik dalam komuniti,” katanya. – MalaysiaGazette

















