Kenyataan Kelab Media Johor

KUALA LUMPUR – Dua wartawan wanita mendakwa dikasari pegawai pengiring seorang menteri ketika membuat liputan program kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) di Taman Anggerik dan Taman Dahlia, Johor Bahru, pada Selasa lalu.

Presiden Kelab Media Johor, Mohamad Fauzi Ishak berkata, ketika sidang media menteri tersebut, beberapa pegawai pengiring telah menghalang pengamal media.

Antaranya, pengiring terbabit didakwa menyentuh tangan seorang wartawan wanita yang sedang merakam sidang media tersebut.

“Pegawai pengiring juga mencubit belakang pinggang seorang lagi wartawan wanita beberapa kali bertujuan untuk menghalangnya melaksanakan tugas semasa sidang media.

“Suara wartawan wanita menjerit “jangan sentuh saya” turut terakam dalam rakaman sidang media berkenaan.

“Seorang jurugambar juga ditolak oleh pengawai pengiring semasa mengambil gambar sewaktu sidang media,” katanya menerusi kenyataan, malam tadi.

Berikutan insiden itu, katanya, ia telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengamal media mengenai isu keselamatan mereka ketika liputan PRK Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram.

Selain itu, menurutnya, perbuatan menyentuh tangan dan mencubit wartawan wanita sehingga mengakibatkan mangsa tidak selesa dan terancam, boleh dianggap sebagai gangguan seksual.

“Kelab Media Johor memandang isu ini sebagai satu perkara serius yang tidak sepatutnya berlaku dan berharap perkara seumpama itu tidak berulang lagi.

“Media seharusnya diberi peluang dan ruang untuk menjalankan tugas sebaiknya dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast