KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersetuju untuk mempertimbangkan permohonan jawatan Ahli Dewan Negara untuk diberikan kepada Parti Makkal Sakti Malaysia.
Bercakap dalam Perhimpunan Agung Tahunan ke-15 parti tersebut hari ini, Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO berkata, memang ada kekosongan bagi jawatan itu namun jumlah yang meminta adalah ramai.
Oleh itu, beliau perlu berlaku adil untuk semua parti yang berada dalam kerajaan.
“Saya ada Setiausaha Agung BN di sini (Datuk Seri Zamry Abdul Kadir) berharap beliau dapat membantu saya dalam perkara ini,” katanya.
Terdahulu dalam ucapan dasar parti itu Presiden Parti Makkal Sakti, Datuk Seri Thanenthiran memohon Presiden UMNO itu mempertimbangkan jawatan Senator kepada pemimpin parti itu sebagai menghargai kesetiaannya yang kekal bersama BN dalam mengharungi segala susah senang bersama selama 15 tahun dengan status sebagai Friends of BN.
“Datuk Seri (Ahmad Zahid) kami sudah 15 tahun sudah kekal setia mengharungi segala rintangan dan kedukaan bersama UMNO dan BN dan kami mahu kesetiaan kami dihargai sekurang-kurangnya dengan jawatan Senator.
Dalam resolusi sama, bekas Calon Parlimen BN Nibong Tebal PRU15 turutĀ meminta BN meneliti permohonan untuk menjadi rakan komponen.
“Ia boleh menjadi pemangkin kepada kepimpinan parti kami bagi menunjukkan keberadaan kami secara rapat bersama BN selain suntikan untuk kami bekerja keras membuat persiapan menghadapi PRU16 nanti secara bersama,” katanya.-MalaysiaGazette