Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari bercakap kepada media mengenai himpunan aman Selamatkan Malaysia EDC Hotel, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 10 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Pemuda Perikatan Nasional (PN) akan menganjurkan himpunan awam simbolik bermulanya kempen Gerakan Selamatkan Malaysia pada Hari Malaysia yang akan disambut pada 16 September ini.

Menurut ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari himpunan tersebut sebagai bantahan terhadap isu melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mencetuskan pelbagai persoalan sejak kebelakangan ini.

“DNNA ini telah membuka mata dan mencetuskan kegusaran rakyat berkenaan sistem keadilan dalam negara.

“Kes ini telah dibahaskan secara terperinci oleh beberapa pihak berkepentingan seperti BERSIH, Majlis Peguam Negara bahkan parti-parti yang ada dalam kerajaan pada hari ini pun meminta Peguam Negara memberikan penjelasan.

“Dalam erti kata lain isu ini menjadi tanda tanya kepada sebahagian besar pengamal undang-undang dalam negara ini tentang bagaimana kes Prima Facie telah ditarik balik oleh pihak pendakwa raya,” katanya ketika sidang media.

Turut hadir Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Katanya, generasi muda, seluruh rakyat Malaysia badan bukan kerajaan (NGO) termasuk parti politik yang membantah keputusan Mahkamah Tinggi baru-baru ini diajak untuk menyertai himpunan aman berkenaan.

“Saya yakin kalau tidak ada halangan daripada pihak berkuasa kita boleh menghimpunkan seramai yang mungkin tetapi pada kita jumlah yang hadir nombor dua yang paling penting kesedaran rakyat untuk bergerak dan menyelamatkan Malaysia.

“Kita akan jemput NGO-NGO yang cintakan Malaysia, tidak terkecuali parti-parti dari kerajaan seperti DAP kalau nak hadir, daripada UMNO kalau mahu hadir, juga dari Angkatan Muda Keadilan (AMK) sebab saya baca kenyataan daripada wakil itu yang mendesak sidang Parlimen khusus membincangkan isu DNNA ini,” tambah beliau.

Menurut Ahmad Fadhli, himpunan aman berkenaan akan diadakan di depan kompleks beli belah Sogo pada 2 petang. -MalaysiaGazette