Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia memulakan sesi dagangan Isnin dengan lebih rendah berikutan sentimen optimis namun berhati-hati di pasaran dan di tengah-tengah prestasi semalaman Wall Street yang meningkat secara sederhana.

Pada 9.15 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.92 mata kepada 1,452.67 daripada 1,454.59 pada akhir dagangan Jumaat lepas.

Sewaktu dibuka, indeks penanda aras itu dibuka pada paras 1,453.72.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata walaupun Dow Jones menokok sebanyak 76 mata, Nasdaq naik hampir 13 mata selepas hasil Perbendaharaan 10 tahun Amerika Syarikat (AS) meningkat sedikit pada 4.26 peratus.

Pasaran Hong Kong ditutup berikutan ancaman taufan buruk pada Jumaat lepas.

Di peringkat tempatan, beliau berkata, pasaran lebih bimbangkan terutamanya penurunan ketara jumlah dagangan pada Jumaat lepas dan berharap keadaan akan kembali pulih.

“Pilihan raya kecil yang baru berakhir ini sepatutnya menyuntik kestabilan politik lebih ketara di negara ini, sekali gus membolehkan lebih banyak dana memasuki pasaran ekuiti.

“Berikutan itu, walaupun sentimen pasaran berhati-hati, kami menjangkakan indeks berkenaan akan bergerak dalam lingkungan 1,450-1,460 hari ini dengan minat terhadap kaunter minyak dan gas didorong oleh harga minyak mentah Brent ditutup pada US$91 setong,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) pada hari ini juga berkemungkinan meningkatkan kaunter berkaitan.

Bagi saham wajaran tinggi Bursa Malaysia, Maybank dan CIMB masing-masing meningkat satu sen kepada RM9.15 dan RM5.70 manakala Petronas Chemicals susut enam sen kepada RM7.11 setakat 9.28 pagi ini.

Saham aktif pula menyaksikan KNM dan Luster turun setengah sen kepada 11.5 sen dan 7.5 sen. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast