Penari balet, Nika Tskhvitariia (depan) bersama pasanganya, Vitally Amialishka memperagakan gerak tari balet yang bakal memukau peminat pada 30 September ini.

KUALA LUMPUR – Freed Ballet mengumumkan bakal mengadakan pementasan tarian klasik balet buat julung kalinya di Plenary Hall Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) anjuran Megatix Malaysia pada 30 September ini.

Menurut Pengarah Megatix, Fatini Zakaria, ‘Freed Ballet : Masterpiece of World-Class Classical Music and Ballet’ tersebut bakal dipersembahkan bersama karya muzik klasik oleh pemuzik bertaraf dunia.

Katanya, penonton juga akan disajikan dengan pertunjukkan yang dilengkapi dengan bunyi kontemporari serta kesan cahaya yang direka khas pada malam tersebut.

“Kami mengambil keanggunan balet klasik dan menyelitkannya dengan teknologi cahaya dan bunyi termaju yang akan membuatkan penonton rasa terpukau.

“Penari kami bukan sahaja akan membuat persembahan (tarian balet), mereka akan melakukan persembahan yang bertenaga bersama melodi klasik yang terbaik,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Fatini berkata, penonton juga berpeluang untuk menyaksikan karya balet klasik merangkumi dua babak yang berdurasi hampir dua jam.

“Penonton akan dipersembahkan dengan balet swan lake pada babak pertama dengan muzik oleh Pyotr Tchaikovsky manakala babak kedua pula, balet kegemaran semua orang Don Quixote Scheherazade,” ujarnya.

Untuk rekod, tiket bagi pementasan balet ini sudah 70 peratus terjual, justeru bagi sesiapa yang tidak mahu ketinggalan, boleh mendapatkan tiket tersebut di https://www.megatix.my/. – MalaysiaGazette