Abdul Aziz Mohd Yusof merasmikan Kempen Bulan Pembebasan Riqab 2023 di sini hari ini, sambil diperhatikan oleh Hashim Meon, Pengerusi Jawatankuasa Riqab MAIS (kanan) dan Dr. Ahmad Shahir Makhtar, Setiausaha MAIS (kiri).

KUALA LUMPUR – Sebanyak RM 5 juta peruntukan zakat asnaf riqab tahun ini diperuntukkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bagi menangani masalah sosial.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, peruntukan berkenaan akan digunakan untuk membantu dan membimbing golongan yang memerlukan bantuan pemulihan, perlindungan, rawatan dan pencegahan menerusi pelbagai program.

Peruntukkan itu diberikan berdasarkan sumbangan geran pemulihan kepada Rumah Pemulihan Riqab, Program Kursus dan Latihan Asnaf Riqab, Perkhidmatan Guru Pembimbing Riqab dan Sumbangan Kebajikan kepada asnaf riqab yang terkesan (bencana alam dan kematian pengurusan jenazah).

Ia termasuk program-program pemulihan dan pendidikan yang dilaksanakan oleh tiga Rumah Pemulihan Majlis dan 25 buah Rumah Pemulihan ar-Riqab di bawah MAIS yang berperanan membantu pemulihan mereka yang mengalami masalah sosial dari pelbagai kategori,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut beliau, sehingga Ogos tahun ini MAIS telah menyantuni 2,205 golongan asnaf riqab di Selangor melalui bimbingan dan bantuan kebajikan.

Dalam masa yang sama, seramai 143 Guru Pembimbing Al-Riqab dilantik bagi tujuan bimbingan.

Asnaf Riqab merupakan individu yang terbelenggu dengan masalah sosial dan masalah aqidah seperti penagihan dadah, sumbang mahram, persetubuhan haram dan orang Islam yang terpesong agamanya.

Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata, sepanjang bulan ini MAIS menganjurkan Kempen Bulan Pembebasan Riqab 2023.

Jelasnya, pelbagai program dan aktiviti yang dirangka bermula 1 hingga 30 September, antaranya ialah Forum Riqab, Ceramah Kesedaran Kesihatan, Program Bimbingan Asnaf Riqab dan pelbagai program secara fizikal dan secara dalam talian.

“Sebagai pihak berkuasa utama dalam pengurusan Hal Ehwal Islam di Negeri Selangor, adalah menjadi tanggungjawab MAIS dalam melaksanakan program-program kesedaran melibatkan masalah sosial, aqidah dan kesihatan mental.

“MAIS berharap, penganjuran kempen ini dapat menyediakan ruang dan informasi kepada umat Islam agar dapat mengenali asnaf riqab dengan lebih dekat serta cakna dengan masalah kesihatan dan gejala sosial yang berlaku kini,” tambah beliau.-MalaysiaGazette