SINTOK – Pelajar Sains Fizik dengan Kepujian, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM), Lt M Norazimah Rohamat (Darat), 23, merupakan satu-satunya wanita
yang menerima anugerah Pegawai Kadet Terbaik Darat pada istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Awam (UA) ke-
41 di Universiti Utara Malaysia (UUM).
Norazimah meluahkan rasa syukurnya setelah menerima penganugerahan tersebut walaupun ditauliahkan setahun lebih lewat dari tarikh sepatutnya dek pandemik Covid-19.
“Pada awalnya saya berasa tercabar kerana pegawai kadet darat universiti lain merupakan pegawai kadet lelaki, namun sokongan daripada mereka juga serta pegawai dan jurulatih
saya akhirnya saya dapat melaluinya dengan baik,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Kadet Terbaik Palapes Laut UPM dianugerahkan kepada pelajar Bacelor Kejuruteraan Aeroangkasa, Lt M Lim Joethinn, 22.
Joethinn turut meluahkan rasa syukur dan gembira atas pencapaian dirinya itu.
“Menjadi kadet terbaik memang harapan saya sejak tahun pertama menyertai Palapes Laut. Saya amat berbangga dengan pengurniaan anugerah ini,” katanya sambil menambah pengorbanan pada setiap hujung minggu untuk fokus pada aktiviti Palapes membuahkan hasil pada hari ini.
Seramai 90 orang Pegawai Kadet Palapes UPM telah menerima pentauliahan pada istiadat kali ini yang telah disampaikan oleh Raja Muda Kedah, Tengku Sarafuddin Badlishah Ibni Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin di Padang Kawad Palapes UUM dan Dewan Muāadzam Shah, UUM. – MalaysiaGazette