KUALA LUMPUR – Seorang Ahli Parlimen Pembangkang kecewa Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memungkiri janji untuk memberi ruang membahaskan usul menggesa usul tergempar bagi memanggil Peguam Negara susulan keputusan melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan berkait Yayasan Akalbudi.
Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, usul itu dibawa oleh Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal sebaik sidang Dewan Rakyat bermula walaupun berlaku sedikit kekecohan.
Menurut beliau, Johari telah berjanji untuk memberi ruang usul tersebut dengan syarat selepas pembentangan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) 2021-2025 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Namun kata Afnan Hamimi, sebaik pembentangan berakhir, Speaker terus menangguh sidang sambil tersenyum dan berlalu keluar dari Dewan Rakyat.
“Pagi tadi, Tan Sri Speaker Dewan Rakyat janji nak beri ruang kepada Ahli Parlimen Machang untuk bangun bercakap tentang usul berkaitan isu ‘lepas tanpa bebas’ ke atas Ahli Parlimen Bagan Datuk.
“Setelah berlaku sedikit kekecohan, Speaker janji beri ruang itu selepas selesai ucapan YAB PMX. Kekecohan reda. Sidang dewan kembali disambung.
“PMX bangun bentang ucapan tentang Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
“Tetapi, setelah PMX bentang ucapan, Speaker terus tangguhkan sidang. Tiada ruang untuk Ahli Parlimen Machang bertanya seperti yang dijanjikan tadi.
“Kami Ahli Parlimen Pembangkang bangun bertanya. Speaker memandang sambil tersenyum dan berlalu keluar dari Dewan Rakyat.
“Begitulah kisah hari pertama Sidang Dewan Rakyat kali ini,” tulis di Facebook miliknya sebaik selesai pembentangan usul di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Pada masa sama, sekumpulan Ali Parlimen Pembangkang mengadakan sidang media bagi melahirkan rasa kecewa selepas usul tergempar bagi memanggil Peguam Negara susulan keputusan DNAA Ahmad Zahid tidak dibenarkan dibahaskan oleh Johari Abdul selepas pembentangan KSP RMK12 oleh Anwar di lobi Dewan Rakyat di sini hari ini – MalaysiaGazette