Mohd Shahar Abdullah

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan menyokong langkah Putrajaya untuk mengembalikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) berkata, dengan mengembalikan GST, pelaksanaannya akan mempercepatkan negara mencapai dasar fiskal yang lebih cepat daripada biasa.

“Saya amat menyokong kerajaan untuk mengembalikan GST sekiranya kita nak mencapai defisit fiskal lebih baik daripada 3.5 peratus di hujung RMK-12, GST merupakan jangka masa pantas untuk kita capai langkah ini.

“Apabila kita tidak melaksanakan semula GST, kita kerugian RM12 hingga RM18 bilion dan dapat kita beri kepada rakyat dan bantu ekonomi,” katanya ketika membahaskan laporan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia ke 12 (RMK-12) di Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum ini, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dilaporkan berkata,  kerajaan terbuka untuk memperkenalkan semula GST sebagai salah satu strategi untuk meluaskan asas hasil bagi mencapai kemampanan fiskal.

Rafizi bagaimanapun berkata, kerajaan akan mengutamakan strategi untuk meluaskan sumber hasil negara termasuk fokus membangunkan Cukai Keuntungan Modal yang dijadualkan dilaksanakan pada 2024.

Untuk rekod, GST sebanyak enam peratus diperkenalkan pada 2015, tetapi telah dimansuhkan pada 2018 dan digantikan dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Pada Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia belum bersedia melaksanakan semula GST kerana tahap pendapatan rakyat masih rendah. – MalaysiaGazette