KUALA LUMPUR – Polis akan mengambil keterangan Tan Sri Muhyiddin Yassin berkaitan kenyataan menyentuh isu kaum, agama dan raja (3R) semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Khamis ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, sesi rakaman itu akan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.
“Kertas siasatan terhadap Presiden Bersatu itu telah dibuka selepas laporan polis diterima pada 7 September lalu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 4(A) Akta Kesalahan Pilihan Raya dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998,” katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dalam ceramah kempen PRK DUN Simpang Jeram, Johor pada 3 September lalu.
Antara kenyataan Muhyiddin itu ialah “Melayu pada hari ini tidak lagi menguasai kerajaan, maknanya orang Melayu sudah hilang kuasa, sedar ataupun tidak, betul ataupun tidak.” – MalaysiaGazette