NEW YORK- Lebih 1,000 mangsa masih tidak dapat dikenal pasti ketika Amerika Syarikat memperingati tahun ke-22 serangan 9/11.
Satu upacara memperingati telah diadakan pada hari Isnin di Memorial & Muzium 11 September Kebangsaan di Lower Manhattan, New York, yang menyaksikan seramai 2,977 orang yang terbunuh dalam serangan 11 September 2001
Beberapa hari sebelum hari memperingati 9/11, dua nama dikenal pasti sebagai mangsa serangan pengganas tersebut.
Namun, nama mangsa – seorang lelaki dan seorang lagi wanita dirahsiakan atas permintaan keluarga.
Dua nama itu adalah mangsa yang ke-1,648 dan ke-1,649 yang dikenal pasti sejak 2001 menggunakan ujian lanjutan oleh Makmal DNA New York City, menurut kenyataan akhbar oleh pejabat Datuk Bandar pada hari Jumaat.
Ia merupakan pengenalan baharu pertama mangsa serangan di World Trade Centre sejak September 2021.
Bagaimanapun, daripada 1,104 mangsa, 40 peratus daripada mereka yang maut masih tidak diketahui identiti mereka.
Bilangan responden pertama 9/11 yang telah meninggal dunia akibat komplikasi kesihatan berkaitan Ground Zero hampir sama dengan bilangan responden pertama yang meninggal dunia semasa serangan.
“Apabila menara runtuh pada hari yang mengerikan itu, kami kehilangan 343 Anggota Bomba Bandar New York (FDNY) . … Pada tahun-tahun berikutnya, lebih 341 lagi ahli FDNY telah meninggal dunia akibat kanser dan penyakit yang jarang berlaku disebabkan oleh habuk toksik di Ground Zero,” kata Persatuan Anggota Bomba Beruniform Greater New York menerusi Facebook pada hari Isnin. – Agensi