KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman hari ini merakam keterangan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai ‘fatwa’ haram mengundi Suhaizan Kayat semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, baru-baru ini.

Sepasukan pegawai polis Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) mengambil keterangan Muhyiddin di pejabatnya di Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), kira-kira jam 9.30 pagi.

Belum pun proses siasatan bermula, beberapa penjawat awam dipercayai pegawai media dari agensi kerajaan itu menghalang petugas media daripada membuat liputan termasuk mengambil gambar ketibaan Muhyiddin.

Beberapa petugas media turut diarah individu terbabit agar tidak memasuki bangunan agensi kerajaan tersebut.

Keadaan itu memaksa petugas media khususnya jurufoto dan juru video merakam gambar Muhyiddin dan insiden itu secara ‘curi-curi’.

Sebelum ini, media melaporkan Muhyiddin dalam satu ceramah di Johor mendakwa haram hukumnya mengundi calon Pakatan Harapan (PH) itu dalam PRK Parlimen Pulai, 9 September lalu.

Tindakan tidak mengundi Suhaizan itu, kata Muhyiddin, perlu bagi menunjukkan bantahan dan kemarahan pengundi terhadap Kerajaan Perpaduan.

“Jangan bagi satu undi pun pada pihak Suhaizan Kayat (calon PH di Parlimen Pulai), bekas Speaker (DUN Johor). Jangan bagi satu undi pun.

“Saya bagi hukum haram. Ada yang esok mencabar saya berhubung hal ini, tanya ikut fatwa mana,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast