KUALA LUMPUR – Agensi kerajaan disaran menyemak semula projek yang telah diluluskan namun tidak memberi kesan kepada ekonomi negara.
Bekas Menteri Kewangan II berkata, sekiranya projek itu tidak memberi manfaat ekonomi kepada negara, kerajaan perlu menggantikannya dengan projek-projek lain yang memiliki kesan berganda.
“Daripada situ, maka perbelanjaan swasta akan bersambung. Mengikut rekod Kementerian Kewangan, sejumlah RM43.9 bilion telah dibelanjakan setakat Jun lalu. Kita bajet (untuk dibelanjakan sebanyak) RM85 bilion dan sudah tidak ada masa.
“Mana-mana pelaksanaan bajet yang diluluskan mestilah dilaksanakan secepat mungkin. Bayaran mestilah dibuat secara cekap dan pantas. Setiap peruntukan diluluskan mesti digunakan secara efisien dan cepat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Semalam, ketika membentangkan KSP RMK12, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan memberikan laluan kepada projek-projek rakyat yang lebih mendesak dalam RMK12 dan membatal projek-projek telah lama diluluskan termasuk projek dalam Rancangan Malaysia terdahulu.