Gambar hiasan

IPOH – Seorang pesara swasta mengalami kerugian berjumlah RM485,000 apabila menjadi mangsa sindiket penipuan panggilan telefon atau ‘phone scam’.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada wanita berusia 72 tahun yang menetap di Kerian itu kira-kira jam 11.40 pagi semalam.

Jelas beliau, berdasarkan laporan tersebut wanita berkenaan mendakwa diperdaya sindiket penghantaran barang termasuk menyamar sebagai pihak polis dengan menggunakan modus operandi ‘phone scam’.

“Siasatan awal mendapati mangsa telah dihubungi seorang lelaki yang mendakwa pekerja sebuah syarikat penghantaran barang pada 4 Ogos lalu sebelum memaklumkan ada bungkusan mengandungi kad kredit, kad pengenalan atas nama mangsa.

“Wanita berkenaan menafikan bungkusan tersebut miliknya sebelum suspek menyambungkan panggilan tersebut kepada individu yang mengaku pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh.

“Suspek kedua itu kemudian menyambungkan panggilan kepada suspek ketiga yang mengaku pegawai polis dari Bukit Aman dan mangsa diugut akan ditangkap, dipenjara susulan terlibat dalam kes pemerdagangan manusia dan penggubahan wang haram,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Mohd Yusri, suspek turut meminta mangsa memindahkan wang miliknya ke akaun bank yang diberikan bagi mengelak wang tersebut dirampas mahupun dibekukan.

“Suspek turut mendakwa wang tersebut akan dikembalikan sebaik siasatan selepas membuatkan mangsa yang ketakutan itu bertindak mengikut arahannya.

“Susulan itu bermula 8 hingga 6 September lalu mangsa telah melakukan 34 pemindahan wang berjumlah RM485,000 kepada 11 akaun bank yang diberikan suspek.

“Kesemua transaksi itu dilakukan sekitar daerah Kerian dan Nibong Tebal, Pulau Pinang dan mangsa hanya menyedari diperdaya selepas anak saudaranya curiga mangsa kerap keluar bagi melakukan pemindahan wang semasa dia melawat mangsa,” katanya.

Tambah beliau, mangsa hanya tampil membuat laporan polis selepas didesak keluarga dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast