Saravanan.

GEORGE TOWN – Hasil simpanan seorang kerani swasta berjumlah RM326,100 lesap selepas terpedaya dengan sindiket phone scam yang menyamar sebagai pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan pegawai polis.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan V. Saravanan berkata, mangsa menerima panggilan daripada suspek pada Julai lalu yang mendakwa wanita berusia 51 tahun itu terlibat dalam kes kecurian pendawaian elektrik serta penggubahan wang haram.

“Mangsa menafikan penglibatan dalam kes itu sebelum panggilan berkenaan disambungkan kepada suspek kedua yang mendakwa dirinya polis.

“Panggilan tersebut kemudian disambungkan kepada suspek ketiga konon boleh bantu mangsa sebelum dia mengarahkan mangsa memindahkan wang miliknya berjumlah RM326,100 secara berperingkat ke enam akaun tempatan bagi tujuan siasatan.

“Wanita itu mengikut arahan suspek susulan dia mendakwa wang tersebut akan dikembalikan selepas mangsa hadir ke Mahkamah George Town pada 30 Ogos,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini, hari ini.

Tambah Saravanan, mangsa hanya sedar dirinya diperdaya selepas suspek sering meminda tarikh untuk ke mahkamah selain meminta dia membuat pindahan wang dari akaun bank luar negara sekiranya ada.

“Mangsa juga menceritakan kejadian kepada keluarga sebelum dia tampil membuat laporan polis semalam.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan sebanyak 905 laporan membabitkan kerugian jutaan ringgit diterima pihaknya berhubung penipuan phone scam sejak Januari lalu. – MalaysiaGazette