Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Gara-gara terpedaya dengan pulangan lumayan, seorang pesara kerajaan rugi RM4.4 juta akibat pelaburan mata wang kripto tak wujud di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, wang tersebut merupakan wang simpanan mangsa.

Menurutnya, polis menerima laporan daripada warga emas itu hari ini berkaitan penipuan urusan pelaburan mata wang kripto melibatkan mangsa mengalami kerugian RM4,417,092.80

Siasatan awal mendapati pengadu berusia 60 tahun telah menerima mesej melalui WhatsApp daripada nombor yang tidak dikenali mengiklankan pelaburan mata wang kripto.

“Suspek kemudiannya memperkenalkan diri sebagai sebagai ejen pelaburan mata wang kripto  berasal dari Singapura sebelum pengadu diterangkan mengenai pelan pelaburan.

“Pengadu kemudian telah dipujuk suspek membuat pelaburan dan diarahkan untuk membuat pendaftaran di laman web yang diberikan.

“Pengadu telah dijanjikan dengan pulangan lumayan sebanyak 5 hingga 10 peratus daripada nilai modal yang dilaburkan namun tidak dinyatakan tempoh pelaburan tersebut,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Tambah Amihizam, pengadu yang terpedaya dengan tawaran suspek telah membuat sebanyak 90 transaksi bayaran wang yang keseluruhannya berjumlah RM4,417,092.80 secara berperingkat ke dalam tiga akaun bank  bermula 18 Julai lalu sehingga 6 September lalu.

Selepas itu, mangsa tidak sedap hati dan menyedari sesuatu buruk berlaku apabila pada 12 September lalu gagal mengakses laman web pelaburan wang kripto berkenaan dan suspek juga gagal dihubungi.

“Pengadu mengesyaki dirinya telah ditipu apabila tidak menerima sebarang keuntungan pelaburan wang kripto sepertimana yang dijanjikan oleh suspek.

“Bertindak atas laporan polis yang diterima daripada mangsa penipuan ini, polis membuka kertas siasatan dan mengendalikan siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda jika sabit kesalahannya,” katanya.

Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan memasuki pelaburan yang menjanjikan keuntungan yang tinggi dan membuat semakan ke atas nombor akaun melalui https://semakmule.rmp.gov.my terlebih dahulu sebelum melakukan transaksi sebarang transaksi.- MalaysiaGazette