Gambar hiasan

Oleh: Azlan Wanti

SEBAGAI kakitangan yang pernah berkhidmat di Pejabat Hal Ehwal Pelajar di sebuah universiti awam, penulis seakan terpanggil untuk memberi pandangan terhadap
satu isu yang pernah hangat diperkatakan dalam landskap pendidikan tinggi negara. Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melalui kenyataan media pada 5 September 2023
telah mengeluarkan arahan kepada setiap institut pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta untuk merangka sendiri berkaitan garis panduan aktiviti hiburan (konsert).

Dalam garis panduan tersebut, KPT meminta penglibatan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bagi mengambil kira suara dan keperluan mahasiswa serta kesesuaiannya di
setiap IPT dan lokaliti, sebelum ia diguna pakai secara rasmi di IPT masing-masing. Menggalakkan penganjuran program hiburan di universiti awam adalah satu inisiatif
penting untuk pembangunan menyeluruh pelajar. Namun begitu, kita perlu memberi perhatian kepada beberapa cabaran berikut :

1. Sensitiviti budaya
Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai landskap budaya yang pelbagai, dengan kepelbagaian etnik dan kepercayaan agama. Adalah sangat penting untuk memastikan bahawa program hiburan menghormati dan tidak menyinggung sensitiviti pelbagai kumpulan budaya dan agama. Dengan erti kata lain, dalam mempromosikan kepelbagaian budaya, sensitiviti budaya juga perlu dijaga supaya tidak timbul sebarang unsur-unsur kontroversi mahupun provokasi dalam masyarakat.

2. Impak sosial
Masyarakat bimbang tentang kemungkinan acara hiburan yang mendorong kepada isu-isu sosial seperti penyalahgunaan bahan terlarang, luntur adab sopan ketimuran dan kemerosotan moral dalam kalangan pelajar. Menangani kebimbangan ini sambil tetap membenarkan penganjuran program hiburan di kampus yang menyeronokkan tetapi tetap bermanfaat merupakan pelaksanaan yang agak mencabar.

3. Keselamatan pelajar/pengunjung
Menganjurkan acara hiburan terutama yang berskala besar memerlukan langkah keselamatan yang cermat untuk memastikan keselamatan pelajar dan pengunjung. Institusi atau penganjur perlu memperuntukkan kakitangan keselamatan dan infrastruktur sesuai untuk menangani potensi risiko dengan berkesan.

4. Prestasi akademik
Ada sesetengah pihak melahirkan rasa bimbang jika pelajar melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti hiburan, ia akan memberi kesan negatif kepada prestasi akademik mereka. Mencapai keseimbangan antara akademik dan penglibatan insaniah adalah cabaran asas bagi pelajar dan universiti.

5. Hubungan komuniti
Universiti dilihat sebagai salah satu institusi penting dalam sesuatu daerah atau komuniti. Persepsi atau reaksi negatif dari warga sekitar mengenai kebisingan, kesesakan lalu lintas atau insiden yang tidak diingini di kawasan setempat akibat penganjuran sesuatu acara boleh menjejas hubungan baik antara institusi dan komuniti.

6. Pematuhan peraturan
Memastikan program hiburan mematuhi undang-undang dan peraturan tempatan, termasuk pelesenan untuk persembahan dan pematuhan kepada kod
keselamatan, boleh menjadi tanggungjawab pentadbiran yang kompleks kepada insititusi dan penganjur.

7. Penyertaan pelajar
Menggalakkan pelajar mengambil bahagian dan berperanan aktif dalam penganjuran acara hiburan merupakan usaha yang agak mencabar dan memerlukan komitmen yang tinggi. Ini kerana memotivasi dan melibatkan mereka dalam aktiviti adalah kunci kejayaan sesuatu aktiviti.

Jika semua cabaran dan kebimbangan tersebut dipertimbangkan, ia dapat mngurangkan risiko negatif dan meningkatkan manfaat program hiburan kampus. Garis panduan yang berkesan dan komunikasi yang jelas adalah penting untuk menangani cabaran-cabaran ini dan memastikan program hiburan menyumbang secara positif kepada pengalaman pendidikan keseluruhan pelajar di universiti awam Malaysia.

Program hiburan di kampus menyediakan platform tersendiri bagi pelajar untuk meneroka pelbagai aspek keperibadian mereka dan memperoleh kemahiran hidup yang
melangkaui ruang lingkup perkuliahan. Memupuk budaya hiburan kampus yang bertanggungjawab dan membina hendaklah mengambil kira kepentingan aspek berikut:

1. Kesedaran dan toleransi budaya
Mengadakan persembahan dan acara budaya yang pelbagai membolehkan pelajar mengenali tradisi yang berbeza sekali gus mampu mempromosikan
kesedaran dan toleransi budaya. Penerimaan kepada pelbagai budaya boleh memupuk masyarakat yang lebih inklusif dan memahami.

2. Kemahiran Kepimpinan dan organisasi
Acara hiburan yang dikendalikan oleh pelajar memberi peluang kepada mereka untuk menguasai kepemimpinan, penganjuran program dan pengembangan
kemahiran berorganisasi. Pengalaman ini memberi wow-faktor kepada pelajar dalam menjadi generasi pemimpin yang berkesan.

3. Kerja berpasukan dan interpersonal
Usaha kolaboratif dalam mengatur dan mengambil bahagian dalam program hiburan kampus membantu pelajar membina kerja berpasukan dan kemahiran
interpersonal yang kuat. Kemahiran ini tidak ternilai di tempat kerja dan dalam membina masyarakat yang harmoni.

4. Kreativiti dan inovasi
Acara hiburan sering menuntut pemikiran kreatif dan inovasi, sama ada dalam merancang persembahan pentas, strategi promosi atau konsep program. Secara tidak langsung, ia menggalakkan kreativiti dan memupuk personaliti ‘technoprenuer” dalam kalangan pelajar.

5. Pengurusan masa dan tanggungjawab
Mengimbangi komitmen akademik dengan penglibatan dalam program hiburan mendidik pelajar pentingnya pengurusan masa dan tanggungjawab. Kemahiran ini sangat diperlukan di mana-mana profesion dan penting untuk pembangunan insaniah para pelajar. Walaupun aktiviti hiburan ini mungkin berpotensi untuk mengundang pengaruh negatif, namun adalah penting untuk mencapai keseimbangan antara peraturan yang hendak digubal dengan gaya hidup dan keperluan seorang pelajar. Kita tidak boleh lupa bahawa universiti bukan semata institusi pengajian akademik tetapi juga berupaya sebagai pentas untuk pembangunan holistik generasi berilmu masa depan.

Dengan menggubal garis panduan kepada nilai yang seimbang, program hiburan kampus dapat dimanfaatkan bagi memupuk individu yang peka budaya, inovatif dan bertanggungjawab secara sosial. Perlulah diingat jika program-program ini diuruskan secara bertanggungjawab, ia akan meningkatkan potensi untuk memperkayakan personaliti generasi akan datang.

Bersama-samalah kita mewujudkan persekitaran akademik yang berdaya saing dan kaya dengan kepelbagaian budaya, agar pelajar kita cemerlang dalam ekosistem yang
pelbagai dan dinamik di kemudian nanti.

Timbalan Pendaftar Kanan
Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)