Mohd Puad Zarkashi
Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – UMNO akan terus turun bertemu akar umbi untuk menerangkan kerjasama parti itu dengan DAP.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, perkara itu antara yang diputuskan dalam Mesyuarat MKT malam ini.

Selain itu, menurutnya, MKT UMNO juga mengekalkan pendirian untuk meneruskan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.

“Mesyuarat MKT UMNO malam ini. Banyak bincang kesan Pilihan Raya Kecil Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram. Pakatan Harapan – Barisan Nasional menang tujuh daripada 11 PDM (Pusat Daerah Mengundi) di Simpang Jeram dan 25 daripada 40 PDM di Parlimen Pulai.

“Pendirian UMNO kekal iaitu akan terus bersama dan mempertahankan Kerajaan Perpaduan. UMNO akan terus turun ke akar umbi rasional kerjasama dengan DAP seperti yang berlaku di Pulai dan Simpang Jeram,” katanya dalam media sosial.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempengerusikan Mesyuarat MKT UMNO di Menara Dato’ Onn sebentar tadi.

Turut kelihatan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Turut hadir tiga Naib Presiden UMNO Dato Sri Wan Rosdy Wan Ismail, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan tidak hadir kerana mengadakan lawatan kerja di London. – MalaysiaGazette