Lokman memeriksa lesen penunggang motosikal dalam Ops Khas Motosikal di Malim, Melaka, malam tadi.

MELAKA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan bekerjasama dengan dua agensi berkaitan untuk mengekang penjualan alat ganti kenderaan khususnya bagi tujuan modifikasi motosikal yang menyalahi undang-undang.

Pengarah Kanan Penguatkuasanya, Datuk Lokman Jamaan berkata, ia akan melibatkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) selaku pengeluar lesen premis perniagaan menjual alat ganti motosikal

Menurutnya, setiap kenderaan motor wajib melalui prosedur oleh Jawatankuasa Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) sebelum layak dipasarkan dan didaftarkan bagi kegunaan di atas jalan raya.

“Penjualan alat ganti yang tidak disahkan oleh JPJ sebagaimana diluluskan dalam VTA itu adalah di bawah tanggungjawab PBT yang mana lesen-lesen premis mereka mestilah mengikuti peraturan-peraturan ini.

“JPJ hanya berkuasa menegakkan undang-undang di atas jalan raya sebab itu untuk langkah ke hadapan kita cadangkan untuk adakan operasi bersama PBT dan KPDN serta badan tertentu yang diberi kuasa,” katanya.

Lokman Jamaan

Beliau berkata demikian selepas mengetuai Ops Khas Motosikal di Malim, di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut Lokman berkata, JPJ sentiasa mengalu-alukan sebarang usaha untuk bekerjasama dengan mana-mana agensi kerajaan berkaitan bagi menguatkuasakan undang-undang jalan raya di negara ini.

“Kami sangat bersedia dan sememangnya ada dalam rancangan pada masa hadapan untuk terlibat dalam operasi bersama agensi yang melesenkan premis (perniagaan) alat ganti motosikal dan kenderaan lain,” katanya.

Anggota JPJ memeriksa motosikal dalam Ops Khas di Malim, Melaka, malam tadi.

Mengenai Ops Khas Motosikal itu, beliau berkata, ia diadakan selama sebulan di seluruh negara bermula 1 hingga 30 September ini bertujuan mengukuhkan pembudayaan pematuhan undang-undang.

Ia turut bagi memupuk rasa bersalah terhadap pelanggaran peraturan keselamatan jalan raya di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Kaedah–Kaedah di bawahnya khususnya kesalahan utama melibatkan pengendali motosikal.

“Sehingga kini, JPJ telah memeriksa sebanyak 140,544 buah motosikal mengeluarkan 64,295 notis atas pelbagai kesalahan setakat semalam.

“Daripada 64,295 notis, 24,459 melibatkan kes tiada perlindungan insurans, tiada atau tamat lesen memandu (19,928) manakala bakinya bagi pelbagai kesalahan termasuk tidak mematuhi lampu isyarat merah (4,061) dan ubahsuai ekstrem sebanyak 2,676 kes,” katanya.

Selain itu, sebanyak 3,111 buah motosikal yang diklasifikasikan tidak mematuhi piawaian keselamatan bagi kegunaan di atas jalan raya awam telah disita. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast