LONDON – Ibu kepada pertahanan Manchester United, Zoe Maguire mengakui beliau sangat kecewa dan sakit hati melihat anaknya Harry Maguire sentiasa dikecam dan menjadi mangsa buli media dan juga peminat di seluruh dunia.
Kata beliau, sebagai ibu, dia tidak boleh menerima komen negatif dan ejekan yang diterima anaknya daripada peminat, pakar bolasepak dan media.
“Ianya amat memalukan untuk pemain yang sentiasa berkorban untuk kelab dan negara mendapat layanan seperti ini.
“Saya faham ada pasang surut dalam bola sepak, kemudian ada komen positif dan negatif tetapi apa yang diterima oleh Harry terlalu banyak.
“Saya berasa tidak selesa melihat apa yang dia alami sekarang. Saya tidak suka melihat ibu bapa atau pemain lain melalui perkara ini pada masa hadapan, terutamanya pemain muda dan wanita yang memulakan karier mereka,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.
Kelmarin, Maguire diejek penyokong Scotland sebelum dia menjaringkan gol sendiri ketika England menang 3-1 dalam perlawanan persahabatan di Hampden Park.
Pengurus England, Gareth Southgate turut menyelar kritikan ‘tidak masuk akal’ yang diterima Maguire, 30, daripada penyokong selain segelintir media.
Sementara itu, saingan Liga Perdana Inggeris kembali bersambung hujung minggu ini selepas berehat panjang untuk aksi antarabangsa, yang mana United akan menjadi tuan rumah kepada Brighton esok. – Agensi