KAJANG – Seorang remaja perempuan dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke sekolahnya pada Rabu lalu dan tidak pulang ke rumahnya yang terletak di Batu 20 1/4, Kampung Padang, Hulu Langat di sini.
Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, polis telah menerima laporan daripada seorang wanita berusia 34 tahun mengadu anaknya, Nur Shafina Maisarah Abdullah tidak pulang ke rumah sejak keluar meninggalkan rumahnya kira-kira jam 6.15 pagi pada hari tersebut.
Semasa keluar, Nur Safina memakai pakaian sukan dan menaiki sebuah bas Rapid.
“Ssksi yang juga merupakan rakan pelajar itu mendapati Nur Shafina turun daripada bas bagaimanapun tidak masuk ke kawasan sekolah,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan petang hari ini.
Bahkan, guru kelas turut memaklumkan kepada pengadu bahawa anaknya tidak ke sekolah.
Mohd Zaid berkata, setakat ini siasatan mendapati pelajar berkenaan tidak mempunyai masalah dengan ibu dan keluarganya di rumah.
Malah, panggilan yang dibuat ibunya juga tidak dijawab oleh pelajar berkenaan.
“Polis telah membuka kertas siasatan dan mengklasifikasikannya sebagai kes orang hilang.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau terlihat remaja tersebut agar melaporkan segera ke mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat kes Sarjan Mohamad Najib Mohd di talian 012-3429297 bagi membantu siasatan lanjut polis,” ujar beliau.-MalaysiaGazette