isu 3R kerajaan tebuk atap
Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) didakwa tidak mahu Kerajaan Perpaduan terus stabil kerana mereka berharap insiden ‘kerajaan tebuk atap’ akan berulang.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mendakwa, PN mahu konflik terus berlaku apabila berdegil ingin meneruskan penganjuran Himpunan Selamatkan Malaysia esok.

“Menunggu pilihan raya umum (PRU) empat tahun lagi terlalu lama.

“Pemimpin Pas seronok duduk dalam kerajaan Pusat dan jadi menteri. Sebab itu demo ini inisiatif Pas,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Himpunan Selamatkan Malaysia yang bakal diadakan di Kampung Baru di sini tetap diteruskan walaupun tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa.

Pada masa yang sama, Mohd Puad mencadangkan agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) membenarkan perhimpunan itu dilangsungkan dengan syarat ia diadakan di Padang Merbok atau Stadium Titiwangsa.

Menurut beliau, PN sepatutnya menganjurkan perhimpunan di lokasi yang tidak mengganggu lalu lintas dan orang awam.

“Tetapi PN mahu demo yang panas dan kecoh. Sebab itu mesti buat di Kampung Baru.

“PN tidak mahu demonstrasi syok sendiri,” jelasnya. – MalaysiaGazette