Hajiji Mohd Noor

KOTA KINABALU – Kerajaan Sabah yang diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah mencapai banyak kejayaan dari segi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang diperjuangkan dalam tempoh dua tahun pertama pemerintahan.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, beberapa peristiwa penting telah dicapai oleh kerajaan negeri berhubung MA63 termasuk dalam sektor minyak dan gas.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan memanfaatkan sepenuhnya persefahaman dan hubungan baik dengan kerajaan Persekutuan dalam memastikan perjanjian penubuhan Malaysia itu dapat dilaksanakan sebaiknya.

“Beberapa kejayaan dalam tempoh lebih dua tahun melalui Pelan Pembangunan Hala Tujuh Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam sektor pembangunan ekonomi, yang mana perdagangan Sabah pada tahun lalu mencapai rekod tertinggi dalam sejarah iaitu RM118.1 bilion, berbanding RM87.2 billion pada tahun 2021.

“Peningkatan 35.4 peratus ini adalah disebabkan pertumbuhan ekonomi yang positif sejak kebelakangan ini dan saya yakin, nilai perdagangan kita akan terus meningkat naik. Sabah juga berjaya menarik lebih daripada RM33 bilion pelaburan dan memperoleh hasil RM7 bilion, ini merupakan pencapaian yang tertinggi sejak mencapai kemerdekaan,” katanya di sini malam ini.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sabah 2023 di Padang Merdeka di sini, disempurnakan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri II Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.

Hajiji berkata usaha berkenaan akan digiatkan lagi termasuk meningkatkan peluang pelaburan yang boleh memanfaatkan pelbagai sektor pembangunan di Sabah.

“Namun kita tidak pernah berpuas hati, malah akan terus membawa pembangunan dan kemajuan termasuk berusaha menyelesaikan isu serta masalah yang dihadapi rakyat sejak sekian lama di negeri ini,” katanya.

Hajiji berkata setelah genap 60 tahun pembentukan Malaysia, negeri Sabah khususnya telah mengecapi pembangunan dan kemajuan dalam pelbagai aspek.

Katanya proses pembentukan Malaysia pada tahun 1963 bukanlah berlaku dalam sekelip mata, sebaliknya ia adalah atas segala usaha dan keringat pemimpin-pemimpin ketika itu menempuh pelbagai liku, rintangan dan cabaran untuk merealisasikannya.

Justeru, katanya menjadi tanggungjawab setiap rakyat Malaysia untuk mempertahankan kedamaian, keharmonian dan kemakmuran yang dikecapi kini. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast