Anwar Ibrahim

NANNING – Usaha kolektif ASEAN dan China mesti memberi tumpuan kepada keamanan serantau, kestabilan, kemakmuran, dan memupuk hubungan perdagangan dua hala dan pelbagai hala, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ini perlu dalam menghadapi cabaran pasca wabak, ketegangan geopolitik, dan pelbagai faktor ketidakstabilan lain,” kata Anwar, yang juga Menteri Kewangan.

Beliau berkata, ASEAN akan kekal sebagai salah satu wilayah yang paling pesat berkembang pada 2023, dan adalah penting bagi ASEAN dan China untuk mempelbagaikan strategi perdagangan dan pelaburan mereka semasa dunia semakin maju.

“Walaupun menghadapi cabaran ekonomi global, ASEAN kekal sebagai destinasi menarik bagi pelaburan antarabangsa, mencatat pertumbuhan ekonomi 5.5 peratus pada 2022, dengan 4.6 peratus (pertumbuhan) diunjurkan untuk 2023.

“Trajektori ini meletakkan ASEAN jauh di atas purata global, sebagaimana yang diunjurkan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada 3.5 peratus untuk 2022, dan tiga peratus bagi 2023 dan 2024,” katanya dalam ucapan perasmiannya Ekspo China-ASEAN ke-20 (CAEXPO) 2023 dan Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan China-ASEAN (CABIS) di sini, hari ini. – Bernama