Kasim Mansur merasmikan kenderaan baharu HUMS

KOTA KINABALU – Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) telah menerima peruntukan pembelian kenderaan baharu bagi kegunaan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat luar bandar khususnya di Sabah.

Pembelian kenderaan ini selaras dengan pendekatan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui program KPT Prihatin Madani.

Menurut Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor, program KPT Prihatin Madani merupakan inisiatif KPT sejak tahun 2021 iaitu pelaksanaan program Klinik Bergerak (mobile clinic) dan program jangkauan.

”Pelaksanaan program ini khususnya di Sabah telah memberikan tanggungjawab kepada HUMS untuk melaksanakan program ini yang melibatkan kesihatan komuniti golongan sasar terutama golongan luar bandar atau pedalaman serta komuniti B40 yang jauh dari fasiliti,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Kenderaan HUMS di perkarangan Pusat Rawatan Warga (PRW), baru-baru ini.

Kasim turut memaklumkan, sebanyak RM3 juta yang diperoleh daripada KPT banyak membantu operasi kesihatan komuniti luar bandar.

“Dengan RM3 juta ini juga, sebahagian perbelanjaan ialah dengan membeli kenderaan-kenderaan yang akan membawa pasukan perubatan dan barang-barang kesihatan yang diperlukan komuniti di pedalaman,” katanya.

Tambah beliau, usaha ini mencapai salah satu objektif utama penubuhan HUMS iaitu peka komuniti, yang melibatkan merintis perkhidmatan atau aktiviti kesihatan khusus komuniti.

“Oleh yang demikian, inisiatif bagi membantu komuniti luar bandar adalah satu inisiatif murni dan harus dijayakan dan diteruskan,” ujar beliau.

Untuk rekod, sehingga kini kenderaan yang telah dibeli HUMS antaranya ialah coaster, lori untuk klinik bergerak (mobile clinic), dua pacuan empat roda, van
penumpang, van untuk klinik bergerak (mobile clinic) dan van untuk klinik pergigian bergerak. – MalaysiaGazette