KUALA LUMPUR – Nor Yati Ahmad telah dilantik sebagai Akauntan Negara Malaysia berkuat kuasa 18 September 2023.
Surat pelantikan sebagai Akauntan Negara Malaysia (ANM) telah disampaikan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Datuk Dr Zulkapli Mohamed di Jabatan Perkhidmatan Awam hari ini.
Pelantikan ini bagi menggantikan Datuk Yacob Mustafa yang telah tamat kontrak perkhidmatan pada 2 Ogos 2023.
Nor Yati sebelum ini merupakan Timbalan Ketua Akauntan Negara (Korporat) Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM), anak kelahiran Batu Pahat, Johor.
Beliau berkelulusan Sarjana Akauntan dan Kewangan dari University Adelaide, Australia dan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Putra Malaysia (UPM).
Beliau berpengalaman sebagai penjawat awam lebih dari 27 tahun apabila menyertai sektor awam pada tahun 1995 sebagai Akauntan gred W3 di JANM cawangan Kuala Lumpur dan pernah berkhidmat di Jabatan Ketua Menteri Melaka dan Perbendaharaan Negeri Selangor dari tahun 2002 hingga 2009.
Sebelum dilantik sebagai Timbalan Akauntan Negara (Korporat) beliau telah berkhidmat di Pasukan Pelaksanaan Perakaunan Akruan (PPPA) JANM sejak tahun 2011 dan dilantik sebagai pengarahnya pada tahun 2018.
PPPA bertanggungjawab dalam transformasi daripada perakaunan asas tunai ubahsuai kepada perakaunan asas akruan sektor awam selaras dengan yang digariskan dalam Model Ekonomi Baharu 2010 yang bertujuan antara lain untuk membantu meningkatkan kecekapan pengurusan kewangan dan perakaunan khasnya dalam Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan sektor awam amnya. – MalaysiaGazette