Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi pegawai penjara ketika hadir ke mahkamah bagi sambung perbicaraan kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto QURRATU AINI, 18 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu tentang adanya dana sebanyak AS$20 juta yang bersamaan dengan nilai lebih RM60 juta telah dipindahkan ke akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak sekitar tahun 2011.

Menurut saksi pendakwaan kes 1Malaysia Developement Berhad (1MDB), Adam Ariff Mohd Roslan yang merupakan seorang penganalisis Bank Negara Malaysia (BNM), transaksi pemindahan itu ditelah dilakukan oleh seorang individu bernama Putera Faisal Turki Bandar al-Saud dari Arab Saudi menggunakan Bank Riyad.

Adam yang merupakan saksi pendakwaan ke-47 berkata, dana sebanyak lebih RM60 juta itu dilakukan secara dua peringkat iaitu pada 24 Februari dan 14 Jun 2011 dengan pemindahan sebanyak AS$10 juta.

Dakwa Adam ketika memberikan keterangan kes penyelewengan dana 1MDB bernilai RM2.3 bilion yang melibatkan Najib ketika menjadi Perdana Menteri, akaun Putera Faisal juga telah menerima jutaan ringgit pada pelbagai transaksi daripada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho Low atau Jho Low.

“Akaun bank itu telah memindahkan dana lebih RM58 juta ke dalam akaun peribadi Najib dalam tempoh tiga hari bekerja selepas menerima dana daripada syarikat Good Star Ltd (syarikat Jho Low).

“Berdasarkan dapatan tarikh antara Good Star Ltd yang menghantar dana ke Bank Riyad kemudian dana itu dipindah milik masuk ke akaun Najib adalah masuk akal untuk percaya akaun Riyad itu telah digunakan sebagai perantara untuk pindah masuk wang Good Star Ltd,” katanya di hadapan Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah hari ini.

Terdahulu, Adam juga mendedahkan dalam keterangannya antara tahun 2009 sehingga 2001, Good Star Ltd telah menerima lebih AS$810 juta daripada 1MDB.

“Ketika memeriksa penyata akaun bank Good Star Ltd sememangnya ada penerimaan dana 1MDB serta Pengarah Petrosaudi International Ltd (PSI), Tarek Obaid.

“1MDB juga telah memindahkan AS$700,000,000 dan AS$110,000,000 ke dalam akaun RBS Coutts dimiliki oleh Good Star,” ujarnya.

Ketika ini Najib yang juga mantan Ahli Parlimen Pekan sedang berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama. 

Prosiding akan bersambung esok pagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast