Seramai 34 orang mahasiswa yang merupakan kumpulan perintis bagi Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah ditauliahkan dengan pangkat Leftenan Muda.

MELAKA – Seramai 34 orang mahasiswa yang merupakan kumpulan perintis bagi Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM)
telah ditauliahkan dengan pangkat Leftenan Muda.

Mereka ditauliahkan pada Istiadat Pentauliahan Diraja di Universiti Utara Malaysia (UUM) baru-baru ini yang disempurnakan oleh Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Aminul Karim Sultan Sallehuddin.

Pada majlis tersebut menyaksikan seramai 34 orang mahasiswa UTeM yang terdiri daripada 27 orang lelaki dan 7 wanita kini bergelar pegawai muda berpangkat
Leftenan Muda dalam Rejimen Askar Wataniah.

Naib Canselor UTeM yang juga merupakan Komandan Palapes UTeM, Kolonel (Kehormat) Prof Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, pentauliahan ini menjadi detik sejarah kerana telah berjaya menghasilkan kumpulan pertama Pegawai Rejimen Askar Wataniah dari UTeM.

Jelasnya, mereka kini merupakan pelajar tahun akhir yang akan bergraduasi pada bulan November nanti dan jika diimbau kembali merekalah kumpulan perintis yang
berjaya sewaktu pengambilan pertama Palapes UTeM pada tahun 2019 yang lalu.

“Mereka telah berjaya menempuh dan melengkapkan latihan ketenteraan selama tiga tahun berdasarkan silibus Markas Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat.

“Kumpulan tersebut juga telah menghadiri siri Latihan Tempatan yang diadakan pada hujung minggu, Latihan Berterusan dan Latihan Kem Tahunan yang diadakan pada cuti semester, ujar beliau dalam kenyataan media.

Pada majlis yang sama turut menganugerahkan Pegawai Kadet Terbaik Keseluruhan bagi UTeM menjadi milik kepada Pegawai Rendah Kanan (PRK) Akmal Hakim Azizi yang merupakan penuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Teknologi Automotif) dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FTKMP).

Sementara itu Pegawai Kadet Wanita Terbaik UTeM diterima oleh Pegawai Kadet Wanita Sarjan Nuratikah Mohd Radzali pelajar Ijazah Sarjana Muda Teknologi
Kejuruteraan Elektronik (Telekomunikasi) dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE).

Sementara itu Kategori terakhir iaitu Pegawai Kadet Jasmani Terbaik UTeM menjadi milik Pegawai Kadet Muhammad Hasif Nazli yang merupakan penuntut jurusan
Ijazah Sarjana Muda Teknousahawanan dari Fakulti Pengurusan Teknologi dan Teknousahawanan (FPTT).

Akmal Hakim, 23, melahirkan rasa syukur atas penghargaan tersebut dan turut berterima kasih kepada PALAPES UTeM dan para pegawai kadet yang lain yang mempercayai saya dalam memimpin Palapes UTeM selama tiga ahun ini.

“Saya berharap agar kejayaan yang saya perolehi dapat memberi inspirasi pada kadet Junior dan Intermediate agar berusaha bersungguh-sungguh dan memberikan
komitmen sepenuhnya di samping ikhlas dalam menggalas tanggungjawab yang diberikan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast