Pemangku Menteri Perdagangan dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali ditemui media selepas melakukan pemantauan harga barangan keperluan asas di dua buah pasaraya di sekitar Selayang, hari ini.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan berusaha menawarkan beras import pada kadar harga subsidi menerusi program Jualan Rahmah.

Pemangku Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, inisiatif itu bertujuan untuk menambah jumlah jualan dan bekalan beras tempatan sedia ada.

Bagaimanapun, tambah beliau, pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk menambah bekalan beras bagi Jualan Rahmah.

“Kita sedang teroka idea untuk program khas tertentu dengan menawarkan beras import ini pada kadar subsidi supaya harga lebih rendah dan kita tidak hanya bergantung kepada beras tempatan semata-mata.

“Usaha itu termasuk dengan Jualan Rahmah sebagai mekanisme kepada orang yang memerlukan. Kita akan memperbanyakkan bekalan beras pada kadar subsidi, bermaksud kita tambah bekalan (beras) setiap kali ia diadakan,” katanya.

Pemangku Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali ditemui media selepas melakukan pemantauan harga barangan keperluan asas di dua buah pasaraya di sekitar Selayang, hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melakukan pemantauan harga barangan keperluan asas di di Pasar Raya Sri Ternak dan Pasar Raya NSK, Selayang, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Armizan tidak memperincikan mekanisme tersebut buat.

KPDN melaksanakan program Jualan Rahmah sejak Ogos lalu, sebanyak dua kali sebulan di 640 lokasi di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara.

Ia dilaksanakan selepas menerima peruntukan tambahan RM50 juta seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 30 Julai lepas.

Sebelum ini, Jualan Rahmah dilaksanakan hanya dua kali sebulan di peringkat Parlimen dan sekali sebulan di peringkat DUN. – MalaysiaGazette