KUALA LUMPUR – MIC meminta kerajaan mempertimbangkan tempat di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) untuk kursus perubatan kepada pelajar-pelajar cemerlang dalam kalangan kaum India ini.
Pengerusi Biro Pendidikan MIC, Datuk Dr Nelson Renganathan memberitahu MalaysiaGazette, pihaknya telah mendapat aduan serta rayuan membabitkan pelajar-pelajar yang mendapat keputusan 4.0 namun tidak berjaya ditawarkan kursus perubatan.
Nelson yang juga Ahli Dewan Negara berkata, beliau terkejut dan kecewa memandangkan ada juga pelajar-pelajar itu dalam kalangan B40.
Jelasnya, difahamkan lebih 30 pelajar aliran Sains Matrikulasi yang mendapat CGPA 4.00 tidak mendapat bidang perubatan kerana kuota berdasarkan kaum walhal aliran itu dipilih oleh mereka untuk belajar perubatan.
“Biro pendidikan MIC telah mendapat aduan dan rayuan daripada ibu bapa serta pelajar cemerlang ini yang gagal mendapat kursus perubatan sebaliknya ditawarkan kursus-kursus lain.
“Ada juga daripadanya telah ditawarkan kursus yang pada saya tidak masuk akal kerana apa yang telah diminta adalah perubatan namun diberikan bidang lain. Kita sedang bercakap tentang anak-anak yang cemerlang, yang mendapat ‘4 flat’. Bukan senang dapat markah ini, mereka kerja keras.
“MIC telah mendapat sekurang-kurangnya lebih 50 aduan dalam beberapa hari ini sahaja, ramai merayu, menangis. Skor mereka sangat baik tapi tidak beri peluang untuk mereka buat jurusan ini. Mohon kerajaan Madani tampil membantu,” katanya sebentar tadi.
Sambung Dr Nelson, beliau amat faham dengan kekangan adanya kuota untuk bindang perubatan di IPTA namun pada pada masa bagaimanakah kerajaan mahu membantu golongan pelajar yang belajar bersungguh-sungguh namun masih gagal mendapat tempat.
“Dalam Rancangan Malaysia ke-12 ini, bagaimanakah kerajaan pada hari ini akan dapat memberikan penyelesaian ini?
“Kita sendiri bingung dan bimbang dengan keluh kesah ibu bapa dan pelajar yang telah menghabiskan belasan tahun mendidik anak-anak mereka sehingga ke tahap cemerlang namun tidak mampu mendapat tempat terutamanya dalam bidang perubatan yang mereka minati.
“Dari kecil mereka telah berazam dan bercita-cita untuk menjadi doktor, kemudian selepas berjaya bertungkus lumus belajar akhirnya mereka ini tidak diberikan jurusan itu sebaliknya kursus-kursus tidak berkaitan. Ini sememangnya tidak adil buat mereka.
“Saya mohon jasa baik YAB PM untuk lihat perkara ini, sekurang-kurangnya berilah peluang kepada pelajar-pelajar yang telah membuat rayuan ini, bantu mereka jika benar-benar layak atau beri alternatif lain bagi mereka ikuti kursus ini,” ujarnya. -MalaysiaGazette