SHAH ALAM – Bekas Ahli Dewan Negeri Banting, Lau Weng San dilantik sebagai Speaker Dewan Negeri Selangor yang baharu, menggantikan penyandangnya, Ng Sue Lim bagi penggal ke-15, hari ini.
Pelantikan Weng San itu selaras dengan keputusan DAP yang sebelum ini mencadangkan nama bekas Ahli Dewan Negeri Banting itu sebelum Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15), 24 Julai lalu.
Persetujuan itu telah dicapai sekiranya gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PHBN) memenangi PRN15 dan merupakan syarat yang ditetapkan susulan DAP telah menyerahkan DUN Dusun Tua kepada BN.
Nama Weng San diangkat sebagai Speaker Dewan Negeri Selangor dalam kalangan bukan Ahli Dewan Negeri Selangor seperti mana kebiasaan sebelum ini.
Pelantikan Speaker boleh dilantik dalam kalangan bukan ahli Dewan Neegri mengikut Fasal 1(b) Perkara 71, Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.
Terdahulu, Suee Lim (DAP-Sekinchan) mencadangkan nama Weng San dilantik sebagai speaker baharu dan ia disokong V. Papparaidu (DAP-Banting).
Sementara itu, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (Pas-Sijangkang) mencadangkan Timbalan Pesuruhjaya 3 Pas Selangor, Prof Madya Dr Mohd Fuad Mohd Salleh dipilih menjadi speaker dan disokong Datuk Abdul Rashid Asari (Bersatu-Selat Klang).
Pelantikan Speaker baharu itu menjadi kecoh apabila Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Bersatu-Hulu Kelang) mempersoalkan calon yang dicadangkan dalam kalangan bukan Ahli Dewan Negeri Selangor.
Dewan Negeri Selangor kemudiannya menjalankan undian pelantikan Speaker baharu kira-kira 10 minit.
Mesyuarat Pertama itu bertambah kecoh apabila Mohamed Azmin menegur Setiausaha Dewan Negeri Selangor, J. Gayathri Prasena yang menyediakan kertas undi yang meletakkan nombor dan bukan nama calon.
Bagaimanapun selepas 10 minit proses pengundian dijalankan, Weng San yang juga Setiausaha Organisasi DAP Selangor diangkat sebagai Speaker Dewan Negeri yang baharu dengan memperoleh 34 undi, berbanding Mohd Fuad dengan 22 undi.
Sementara itu, Azmizam Zamanhuri (PKR-Pelabuhan Klang) mencadangkan Mohd Kamri Kamaruddin (PKR-Bukit Antarabangsa) sebagai calon Timbalan Speaker dan disokong Yee Jia Haur (DAP-Teratai).
Manakala pembangkang pula, Sallehein Mukhyi menamakan Mohd Shafie Ngah (Pas-Sungai Ramal) sebagai calon Timbalan Speaker dan disokong Muhammad Hilman Idham (Bersatu-Gombak Setia).
Setelah proses pengundian kira-kira 10 minit selesai, Mohd Kamri dipilih sebagai Timnbalan Speaker dengan 34 undi, berbanding Mohd Shafie dengan 22 undi sahaja.
Sebelum ini, gabungan PHBN memenangi PRN15 pada 12 Ogos lalu selepas menguasai 34 daripada 56 DUN, sekali gus dapat membentuk kerajaan negeri bagi penggal ke-15.
Pada 21 Ogos, seramai 10 ADUN mengangkat sumpah sebagai Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor di hadapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Balairung Seri Istana Alam Shah. – MalaysiaGazette