Mohamad Alamin

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perpaduan mengambil pendirian menggesa agar semua negara pesisir yang terlibat dalam isu tuntutan di Laut China agar mengurangkan jumlah kapal perang masing-masing.

Menurut Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin langkah itu penting bagi mengelakkan ketengangan dan memastikan keamaman dan kestabilan kawasan itu tepelihara.

“Kehadiran dan jumlah kapal perang di kawasan maritim seperti Laut China Selatan juga berpotensi meningkatkan ketegangan dan boleh mengancam keamanan, keselamatan dan kestabilan.

“Oleh itu, kerajaan mengambil pendirian semua negara perlu mengurangkan kehadiran kapal perang di Laut China Selatan bagi memastikan keamanan, kestabilan dan mengelakkan ketegangan.

“Malaysia komited menangani isu Laut China Selatan secara konstruktif mengikut forum dan saluran diplomatik sesuai dalam mempertahan kedaulatan dan kepentingan negara.

“Kerajaan harus mengambil sikap hati-hati dan mengelakkan tindakan yang boleh meningkatkan ketegangan dan mengelakkan insiden yang tidak diingini berlaku dalam kawasan perairan negara,” katanya di Dewan Rakyat.

Mohamad berkata demikian ketika sesi penggulungan perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) melibatkan kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Tambah Mohamad, isu tuntutan China di Laut China Selatan yang bertindih dengan kawasan maritim negara perlu dikendali secara menyeluruh dan setiap tindakan diambil adalah berdasarkan pertimbangan komprehensif.

Untuk rekod, isu Laut China Selatan sebelum ini kembali diperbincangkan setelah Kementerian Sumber Asli China mengeluarkan peta baharu yang menunjukkan kawasan sebahagian besar perairan Malaysia berhampiran Sabah dan Sarawak dimasukkan sebagai wilayah negara itu.

Mohamad memberitahu, kerajaan telah mengemukakan bantahan diplomatik kepada China pada 11 September lalu dan menegaskan menolak tuntutan kedaulatan serta hak kedaulatan China ke atas fitur maritim di Laut China Selatan.

“Ini tidak konsisten dengan undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu tentang Undang-Undang Laut,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, kerajaan tidak mengambil ringan berhubung isu berkaitan sempadan maritim kerana membabitkan kedaulatan negara.

Malah kata Mohamad, Putrajaya menegaskan bahawa persempadanan maritim yang dipersetujui dalam Triti Laut Sulawesi di antara Malaysia dan Indonesia, tidak membabitkan kawasan yang disebut sebagai Ambalat.

Bagaimanapun pada masa sama negara juga perlu menghormati hubungan diplomatik yang baik bagi menjamin keamanan, kestabilan dan kemakmuran dengan mana-mana negara jiran.

“Saya ingin menegaskan sekali lagi, bahawa kawasan atau persempadanan maritim yang dipersetujui Triti Laut Sulawesi tidak langsung membabitkan kawasan yang disebutkan sebagai Ambalat,” katanya.

Mohamad turut berkata, Triti Laut Sulawesi yang ditandatangani pada 8 Jun 2023, tidak membabitkan persempadanan maritim di Zon Ekonomi Ekslusif (ZEE) atau pelantar benua di antara Malaysia dan Indonesia.

“Triti itu hanya meliputi kawasan di separa perairan laut wilayah dan langsung tidak membabitkan kawasan yang disebut Ambalat.

“Bagaimanapun masih terdapat baki sempadan yang perlu dirundingkan iaitu membabitkan wilayah perairan laut,” katanya lagi. – MalaysiaGazette