KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pulai yang baharu, Suhaizan Kayat hari ini mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, di sini.

Menurut kenyataan media Parlimen Malaysia, majlis angkat sumpah itu berlangsung di hadapan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul di Dewan Rakyat.

“Saya akan tumpahkan taat setia kepada Malaysia, melindungi dan mempertahankan Perlembagaannya,” ucap Suhaizan.

Dalam pada itu, Johari mengucapkan tahniah kepada Suhaizan kerana diangkat sebagai Ahli Parlimen.

Dalam ucapannya, Johari menggesa agar Suhaizan dan semua Ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat menjadikan Dewan Rakyat sebagai platform perdebatan yang bebas.

“Saya yakin Ahli Parlimen akan melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat dengan terhormat seperti yang dituntut oleh institusi ini,” kata Johari.

Biarpun Suhaizan mengangkat sumpah jawatan hari ini, Kerajaan Perpaduan masih kehilangan majoriti dua pertiga apabila Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) menarik sokongan terhadap kerajaan, minggu lalu.

Suhaizan yang dipertaruhkan Pakatan Harapan (PH) bertanding pada PRK Parlimen Pulai menang di kerusi berkenaan dengan majoriti 18,641 undi.

Bekas Speaker DUN Johor itu meraih 48,283 undi menewaskan Zulkifli Jaafar daripada Perikatan Nasional (PN) dengan 29,642 undi manakala Samsudin Mohamad Fauzi yang bertanding sebagai calon bebas pula meraih 528.

Turut mengangkat sumpah jawatan adalah bekas Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz di Dewan Negara.

Nik Mohamad Abduh dipilih sebagai Senator Dewan Negara bagi penggal pertama yang dicalonkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan. – MalaysiaGazette