Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM), Datuk Sharuddin Omar bercakap pada sidang media berhubung isu Penjualan Boustead Plantations Berhad anak Syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) kepada pihak swasta di Wisma Pahlawan,Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 19 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim campurtangan terhadap isu penjualan saham Boustead Plantations Bhd. kepada sebuah syarikat swasta.

Presidennya, Datuk Shahruddin Omar berkata, kerajaan perlu berhati-hati dalam isu penjulan 33 peratus pegangan dalam Boustead Plantations, sungguhpun ia dilapor amat perlu bagi meningkatkan kecairan aset tunai Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Katanya, tindakan kerajaan yang membenarkan Boustead Holdings Bhd (BHB), anak syarikat LTAT menjual saham Boustead Plantations Bhd itu kepada syarikat swasta berkenaan telah menimbulkan tanda tanya.

Justeru, tambah beliau, kerajaan perju menjelaskan adakah penjualan itu merupakan jalan terakhir dan terbaik dalam penyelesaian masalah yang dihadapi.

“Perlu diingat, setiap inci tanah mempunyai titisan peluh dan darah serta cebisan daging pejuang terdahulu yang berkorban untuk mempertahankan tanah air.

“Pejuang dan pahlawan negara sebelum ini sudah berjuang untuk membersihkan dan memutihkan negara ini daripada komunis, tapi selepas 30 tahun ia terjual,” katanya pada sidang media, di Wisma Pahlawan, di sini, hari ini.

Pada 24 Ogos lalu, Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK) memuktamadkan perjanjian kerjasama strategik (SCA) dengan LTAT dan BHB, yang menyaksikan KLK mengambilalih 33 peratus saham Boustead Plantations dengan pertimbangan tunai RM1.15 bilion.

Ketika ini, BHB menguasai 57.42 peratus kepentingan dalam Boustead Plantations manakala, LTAT memegang 10.59 peratus kepentingan dalam syarikat perladangan itu.

Berdasarkan cadangan pengambilalihan itu, BHB dan LTAT akan memiliki baki kepentingan ekuiti kira-kira 35 peratus dalam Boustead Plantations.

Dalam pada itu, Shahruddin berkata, veteran tentera merupakan pemegang taruh dalam saham LTAT.

Susulan itu kata beliau, veteran tentera memohon kerajaan berhati-hati dalam isu tersebut.

“Kenapa aset yang melibatkan tanah perlu dijual kepada KLK (GLC Swasta Bukan Bumiputera), tidak dijual kepada mana-mana GLC seperti Sime Darby jika kita mahu mencapai sasaran Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) supaya pegangan ekuiti Bumiputera terus diperkasakan,” ujarnya.

Mengulas lanjut Shahruddin berkata, beliau bimbang penjualan itu akan memberi kesan jangka panjang kepada LTAT dan kebajikan warga tentera serta veteran tentera.

Ujarnya, beberapa kaedah lain boleh dilakukan bagi menyelesaikan masalah dalaman LTAT antaranya mereformasi semula struktur organisasi selain menerima bantuan kewangan daripada kerajaan.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Apakah modus operandi jualan ini sama dengan modus operandi gurkah2 @khadam2 melelong aset2 TH dibawah harga pasaran/harga lelong murah2 dahulu?

    Ramai yang nak tahu?

Comments are closed.